Sewa motosikal RM20 sehari kepada warga asing

Iklan
Ahmad Kamarunzaman (kiri) menunjukkan kenderaan yang disita dalam Ops Pewa pada Khamis.

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor membongkar kegiatan menyewa kenderaan khususnya motosikal kepada warga asing pada kadar RM20 hingga RM30 sehari sekali gus menjadi antara punca utama isu pemandu tanpa lesen terus berlarutan.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan, masalah itu masih berterusan disebabkan tindakan segelintir rakyat tempatan yang menyewakan kenderaan milik mereka kepada warga asing.

Iklan
Iklan

“Berdasarkan siasatan yang kita lakukan, perkara ini berterusan kerana terdapat segelintir rakyat tempatan menyewa kenderaan khususnya motosikal kepada warga asing.

"Bayaran pula ditentukan berdasarkan tempoh sewaan sama ada secara bulanan, mingguan atau harian, manakala jumlahnya tidak tetap kerana bergantung kepada persetujuan antara pemilik kenderaan dan warga asing,” katanya dalam sidang akhbar Ops Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) di Pejabat JPJ Selangor pada Khamis.

Iklan

Ahmad Kamarunzaman berkata, JPJ akan mengambil tindakan terhadap dua pihak iaitu pemandu warga asing terbabit serta pemilik kenderaan yang merupakan rakyat tempatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 61 motosikal antara 95 kenderaan yang disita JPJ Selangor dalam Ops Pewa yang dijalankan secara bersepadu di beberapa kawasan tumpuan di negeri ini sehingga awal tahun hingga 18 Jun.

Iklan

"Daripada 95 kenderaan yang disita, 61 adalah motosikal, diikuti 23 kenderaan barangan, sembilan kenderaan persendirian dan dua kenderaan perkhidmatan awam," katanya.

Ahmad Kamarunzaman menunjukkan kenderaan yang disita dalam Ops Pewa pada Khamis.

Ahmad Kamarunzaman berkata, kebanyakan pemandu warga asing yang ditahan didapati tidak memiliki lesen memandu, selain kenderaan yang digunakan tidak mempunyai cukai jalan serta perlindungan insurans.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 734 kesalahan direkodkan dengan kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 268 kes.

"Kesalahan lain yang dikesan ialah tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak 207 kes, tiada perlindungan insurans sebanyak 178 kes, tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) sebanyak 77 kes dan tiada Lesen Perkhidmatan Awam (PSV) melibatkan empat kes," katanya.

Beliau berkata, kesalahan teknikal turut dikesan membabitkan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik termasuk penggunaan tayar botak dan sistem brek yang tidak berfungsi sempurna sehingga boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.

"Statistik operasi itu menunjukkan seramai 239 warga asing dikenakan tindakan, melibatkan 50 warga Myanmar, 46 warga Bangladesh, 44 warga Indonesia, 10 warga India dan 89 individu daripada lain-lain negara," katanya.

Ahmad Kamarunzaman menegaskan pemilik kenderaan, majikan dan syarikat pengangkutan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kesalahan yang dilakukan pemandu yang mengendalikan kenderaan mereka.

"Pemilik berdaftar boleh dikenakan tindakan atas kesalahan yang dilakukan oleh pemandu termasuk warga asing mengikut Seksyen 109 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, JPJ berkuasa menyita kenderaan sekiranya pemandu warga asing didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah," katanya.