PETALING JAYA – Reformasi pendanaan politik, reformasi Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) dan pemerkasaan Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi antara fokus utama yang digariskan Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP) dalam usaha memperkukuh tadbir urus dan demokrasi di peringkat negeri.
Pengerusi Bersama KDPP, Dr Hafidzah Mustakim berkata, perkara itu terkandung dalam Laporan Tahunan dan Kertas Pendirian KDPP yang merumuskan hasil siri bengkel demokrasi dan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), parti politik, organisasi masyarakat sivil, mahasiswa dan orang awam di beberapa negeri sepanjang tempoh 2025 hingga 2026.
"Pada masa hadapan, saya berharap kami dapat menerbitkan lebih banyak kertas kajian dan memperluas keanggotaan KDPP kepada wakil dari Sabah dan Sarawak.
"KDPP juga mencerminkan satu anjakan paradigma dalam politik Malaysia laitu bergerak melangkaui politik kepartian serta polarisasi kaum dan agama, ke arah politik yang lebih rasional dan berteraskan dasar," katanya.
Terdahulu, KDPP melancarkan laporan tahunannya dan kertas cadangan dasar untuk perkukuh institusi negeri pada Khamis yang dirasmikan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid.
Dalam pada itu, Dr Hafidzah berkata, pelancaran dan kertas cadangan berkenaan menandakan permulaan fasa seterusnya bagi KDPP yang akan memberi tumpuan kepada kajian mendalam, advokasi dan libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memajukan reformasi demokrasi dan institusi di peringkat negeri, merentasi lebih banyak negeri di Malaysia.
Ujarnya, menjelang pilihan raya negeri yang bakal diadakan di Johor dan Negeri Sembilan, KDPP menyeru semua parti politik dan calon untuk komited memperkukuh DUN serta memajukan agenda reformasi demokrasi dan institusi dalam manifesto masing-masing.
"KDPP turut menggesa kerajaan negeri memastikan peruntukan CDF yang sama rata diberikan kepada semua ADUN tanpa mengira hubungan politik, sekiranya peruntukan tersebut terus diagih dan digunakan.
"Layanan yang saksama adalah penting bagi menjamin keadilan. Kebertanggungjawaban dan perwakilan yang berkesan dalam memenuhi keperluan pembangunan di peringkat kawasan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bersama KDPP, Datuk Andansura Rabu berkata, usaha yang dilaksanakan oleh KDPP setakat ini amat penting kerana ia mengangkat dan memperjuangkan reformasi institusi di peringkat negeri, khususnya dalam memperkasakan fungsi semak dan imbang DUN.
Menurutnya, pada akhirnya, reformasi seperti memperiukuh sistem Jawatankuasa DUN, menginstitusikan jawatan Ketua Pembangkang dan menambah hart persidangan DUN akan memberikan kesan positif yang nyata kepada demokrasi.
KDPP merupakan kaukus pelbagai parti dan merentas negeri yang pertama di Malaysia, melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditubuhkan untuk memperjuangkan reformasi institusi dan memperkukuhkan tadbir urus demokrasi di peringkat negeri.
Kaukus itu dianggotai oleh ADUN dari lima buah negeri yang berbeza merangkumi pelbagai spektrum politik, bersama wakil-wakil daripada organisasi masyarakat sivil.
KDPP dikendalikan bersama oleh Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).