AI kesan penipuan tuntutan palsu Daya Kerjaya 2.0

Iklan
Mohammed Azman (kiri) ketika sidang akhbar bersama Abd Halim di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis. - Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

PUTRAJAYA – Kegiatan penipuan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 dikesan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui penelitian serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Bahagian Antipenipuan, Etika dan Integriti telah memulakan penilaian serta pemeriksaan bermula pada penghujung tahun 2024.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada Ogos 2025, maklumat berhubung kegiatan itu telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan susulan.

“Setakat semalam, sebanyak RM1.26 juta telah dikembalikan selepas tindakan yang sewajarnya diambil terhadap majikan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis.

Iklan

Program Daya Kerjaya 2.0 merupakan bantuan penggajian kerajaan berjumlah RM1,500 sebulan bagi tempoh maksimum enam bulan untuk setiap pekerja yang diambil oleh majikan swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Sasaran program ini ialah orang kurang upaya (OKU), individu parol dan warga emas berusia lebih 60 tahun.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat dan pemantauan PERKESO, kegiatan itu dijalankan secara terancang apabila permohonan memenuhi syarat yang ditetapkan, termasuk pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan caruman PERKESO.

Iklan

Katanya, PERKESO mengesan kegiatan tersebut apabila pekerja diberhentikan selepas tempoh enam bulan, sebelum siasatan dijalankan termasuk dengan bantuan pemberi maklumat (whistleblower).

“Siasatan dibuat dan kita mengambil masa lapan bulan sebelum maklumat disalurkan kepada SPRM.

“Kita perlu menambah baik sistem dan memastikan tiada kelompongan atau ruang untuk pihak tertentu melakukan penipuan,” ujarnya.

Jelas beliau, ini bukan kali pertama PERKESO berkongsi maklumat dengan SPRM kerana sebelum ini kedua-dua agensi turut melaksanakan operasi seperti Op Tunjang.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata Op Daya yang digerakkan berjaya membanteras ketirisan dana kerajaan, meningkatkan integriti pengurusan Program Daya Kerjaya 2.0 serta memperkukuh tadbir urus.

“Ini juga dapat mengembalikan keyakinan awam,” ujarnya.

Menurut Abd Halim, antara tindakan yang dicadangkan ialah penguatkuasaan, pemulihan kerugian, pengukuhan kawalan dalaman, penambahbaikan dasar serta pemantauan berterusan.

Op Daya yang dijalankan bagi tempoh 9 hingga 17 Jun dengan kerjasama PERKESO telah membuka 63 kertas siasatan. Seramai 97 individu terdiri daripada 11 ejen serta 86 pemilik syarikat ditahan, selain 577 rakaman percakapan diambil.

Sitaan melibatkan harta alih bernilai RM74,198 termasuk emas, wang tunai dan lain-lain, selain 36 akaun syarikat dibekukan dengan jumlah keseluruhan RM463,076.92.