Permohonan SPRM halang Na'imah urus aset di Jersey didengar 13 Ogos

Iklan
Toh Puan Na'imah. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Khamis menetapkan 13 Ogos depan untuk mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghalang Toh Puan Na'imah Abdul Khalid daripada menguruskan aset luar pesisir di Jersey, sebuah wilayah naungan Mahkota British.

SPRM selaku pendakwa raya memfailkan permohonan untuk menghalang balu Tun Daim Zainuddin itu atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan aset luar pesisir berjumlah AS$157.5 juta dan GBP85 juta yang terletak di wilayah berkenaan.

Iklan
Iklan

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh tersebut semasa prosiding pengurusan kes yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat dan peguam, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid mewakili Na'imah.

Na'imah dikecualikan kehadiran pada prosiding hari ini.

Iklan

Pada 25 Jun tahun lepas, SPRM memfailkan permohonan itu mendakwa aset berkenaan diperoleh Na’imah atau individu yang mempunyai kaitan dengan beliau di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.

Iklan

Ia merupakan permohonan ketiga difailkan pihak pendakwaan selepas dua permohonan terdahulu membabitkan aset di United Kingdom dan Singapura.

Pada 19 Jun 2025, SPRM memfailkan permohonan untuk menghalang Na'imah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin, dua individu, lima syarikat atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan harta yang berada di luar Malaysia iaitu wang pelaburan GBP21 juta dan AS$99 juta di Singapura.

Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Mei 2026 menolak permohonan pendakwaan untuk mendapatkan perintah larangan terhadap wang pelaburan berkenaan.

Sementara itu, bagi kes membabitkan The Ilham Foundation, mahkamah menetapkan 30 Jun ini untuk keputusan permohonan Na'imah bagi membatalkan permohonan SPRM membekukan beberapa bangunan komersial dan kediaman di London, United Kingdom (UK) bernilai GBP132 juta.

Pada 22 Mei 2025, Tan Sri Azam Baki, yang ketika itu Ketua Pesuruhjaya SPRM mendedahkan bahawa lapan kertas siasatan dibuka berdasarkan maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Daim, keluarganya dan proksi.

Azam berkata, maklumat terkini menunjukkan aset terbabit tidak diisytiharkan semasa siasatan SPRM pada 2023. - Bernama