1,638 syarikat disyaki terlibat kes palsu tuntutan Daya Kerjaya 2.0 - SPRM

Iklan
Abd Halim (tengah) dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis. Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,638 syarikat dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM45 juta.

Program Daya Kerjaya 2.0 merupakan bantuan penggajian kerajaan berjumlah RM1,500 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan bagi setiap pekerja yang diambil oleh majikan swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Sasaran program ini ialah orang kurang upaya (OKU), individu parol dan warga emas berusia lebih 60 tahun.

Iklan
Iklan

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, operasi Op Daya telah digerakkan pihaknya bermula 9 hingga 17 Jun dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurutnya, sebanyak 63 kertas siasatan dibuka dan seramai 97 individu terdiri daripada 11 ejen serta 86 pemilik syarikat ditahan, selain 577 rakaman percakapan telah diambil.

Iklan

“Daripada jumlah tangkapan itu, 77 orang telah direman.

“Sitaan melibatkan harta alih bernilai RM74,198 termasuk emas, wang tunai dan lain-lain, selain 36 akaun syarikat dibekukan dengan jumlah keseluruhan RM463,076.92,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.

Iklan

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Abd Halim berkata, modus operandi kegiatan penipuan terbabit ialah menggunakan data individu tanpa pengetahuan mereka untuk membuat tuntutan insentif, selain memberikan saguhati secara sekali bayar (one-off) antara RM50 hingga RM2,400 kepada pekerja sedangkan tuntutan penuh dibuat.

Tambahnya, maklumat orang kurang upaya (OKU) turut disalahgunakan untuk tujuan pembayaran kepada pihak lain.

“SPRM juga mengesan terdapat akauntan syarikat perusahaan yang membuat permohonan dengan kebenaran pemilik syarikat, yang hanya menerima komisen tanpa mengenali pekerja yang didaftarkan,” ujarnya.

Katanya lagi, SPRM menekankan dua aspek utama dalam operasi ini, iaitu perbuatan jenayah rasuah dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009 serta aspek tadbir urus yang melibatkan kelemahan sistem sehingga membuka ruang kepada penyelewengan.

“Maklumat yang diterima SPRM menunjukkan bahawa pada tahun 2024 hingga 2025, sebanyak 143 syarikat dikenal pasti mengemukakan permohonan palsu kepada PERKESO bagi mendapatkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0.

“Permohonan ini melibatkan 320 pekerja dengan nilai tuntutan dianggarkan kira-kira RM9 juta,” ujarnya.

Jelas Abd Halim, pada November 2025, Bahagian Perisikan SPRM telah membangunkan maklumat tersebut melalui kaedah Intelligence Based Investigation (IBI) menerusi analisis dan pengumpulan data daripada pelbagai sumber.

“Maklumat tersebut disemak silang dengan tuntutan di PERKESO, rekod syarikat dan individu serta hubungan antara ejen, majikan dan pekerja.

“Setelah lapan bulan risikan dan siasatan, tangkapan dibuat pada 9 Jun lalu menerusi Op Daya, iaitu operasi bersepadu SPRM bersama PERKESO di 13 negeri kecuali Perlis,” ujarnya.

Tegas beliau, Op Daya masih diteruskan sehingga SPRM selesai menjalankan siasatan.

“Proses siasatan tidak mempunyai had masa. Kita tidak perlu terburu-buru. Tempoh penyelesaian bergantung pada kerjasama yang diperoleh daripada pihak PERKESO.

“SPRM mendapat kerjasama yang baik daripada PERKESO dan apabila siasatan telah lengkap, kita akan memulakan proses pendakwaan di mahkamah,” ujarnya.