COLOMBIA mencatat kemenangan 3-1 ke atas pasukan yang membuat penampilan sulung, Uzbekistan, dalam perlawanan Kumpulan K Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Azteca, Mexico, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Colombia membuka jaringan menerusi Daniel Munoz pada minit ke-40. Bek kanan itu menyempurnakan peluang dari dalam kotak penalti, sekali gus meneruskan rekod Colombia yang tidak pernah terikat tanpa jaringan dalam perlawanan Piala Dunia.
La Tricolor meneruskan corak permainan bertenaga tinggi sepanjang babak pertama dengan mencipta beberapa peluang menerusi serangan di bahagian sayap ketika Uzbekistan bergelut mengekang asakan lawan.
Bagaimanapun, keseimbangan perlawanan berubah apabila Uzbekistan menjaringkan gol pertama mereka dalam sejarah Piala Dunia menerusi Abbosbek Fayzullaev yang menyudahkan voli Eldor Shomurodov pada minit ke-60 untuk menyamakan kedudukan.
Namun, kegembiraan Uzbekistan tidak bertahan lama. Luis Diaz mengembalikan kelebihan Colombia pada minit ke-65 apabila rembatan derasnya mengejutkan pertahanan Uzbekistan sebelum bola terkena penjaga gol Utkir Yusupov dan melantun masuk ke dalam gawang.
Uzbekistan terus mengasak untuk mencari gol penyamaan, namun Jaminton Campaz mengesahkan kemenangan La Tricolor menerusi tandukan kencang pada minit ke-90+9.
Kemenangan itu menyaksikan Colombia melonjak ke tangga teratas Kumpulan K manakala Uzbekistan menghuni tangga tercorot. - Bernama-Anadolu