PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) pada Khamis mengumumkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend ditamatkan melalui persetujuan antara beliau dan badan induk itu berkuat kuasa 1 Jun.
FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kontrak ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski dan dua staf teknikal skuad senior, iaitu Matthew Smith dan Seiya Imazaki juga ditamatkan atas persetujuan bersama-sama berkuat kuasa 16 Jun.
Iklan
Iklan
Selain itu, turut ditamatkan atas alasan sama ialah kontrak ketua jurulatih pasukan Bawah-23 negara, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin berkuat kuasa 15 Jun.
"FAM menghormati keputusan yang dibuat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama-sama pasukan kebangsaan.
"Bagi memastikan kelancaran hala tuju dan kesinambungan program pasukan kebangsaan, FAM sedang mengambil langkah sewajarnya berhubung pengisian jawatan berkenaan. Sebarang perkembangan lanjut mengenai pasukan kebangsaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu. - Bernama