'Poster boy' bukan jaminan jadi MB - Onn Hafiz

Iklan
Onn Hafiz ketika sesi temu bual di Saujana Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor pada Rabu. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Kedudukan sebagai poster boy atau watak utama mewakili kempen sesebuah parti dalam pilihan raya bukanlah jaminan untuk dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya berjaya membentuk kerajaan baharu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkenan istana, khususnya Sultan Johor Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail amat penting dalam menentukan siapa bakal menerajui kerajaan negeri. 

Iklan
Iklan

"Sebagai Menteri Besar saya akan dilihat sebagai ‘poster boy’, itu lumrah.

"Tapi kita jelas bahawa apa pun keadaan, yang akan menentukan siapa menteri besar ialah Sultan Johor atau Pemangku Sultan Johor. Perkenan Istana Johor sangat penting,” katanya dalam temu bual khas bersama pengamal media cetak dan portal berita di Saujana, kediaman rasmi beliau semalam. 

Iklan

Strategi poster boy yang kebiasaannya digunakan dalam setiap pilihan raya penting bagi membina dan menarik keyakinan pengundi untuk menyokong calon daripada parti bertanding.

Beliau turut berkongsi nasihat daripada Istana Johor untuk semua pihak menjaga adab dan tatatertib dalam tempoh berkempen. 

Iklan

Katanya, sikap saling menghormati penting untuk diamalkan walaupun berbeza fahaman dan ideologi politik.

"Tak perlu maki hamun, mencaci. Jagalah adab tertib, itu Tuanku titah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Onn Hafiz berkata, maklum balas daripada Istana Johor dan rakyat merupakan antara kayu ukur yang digunakan bagi melihat tahap prestasi mereka sepanjang empat tahun lepas. 

"Untuk saya dan semua barisan exco, saya sentiasa mengingatkan diri sendiri serta mereka bahawa maklum balas terhadap prestasi kerajaan perlu datang daripada dua pihak, bukan daripada saya semata-mata. Apabila rakyat dan Istana menyatakan bahawa kami telah menjalankan tugas dengan baik, pada saya ketika itulah kami boleh menganggap bahawa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan berjaya dicapai. 

"Tapi kalau satu daripadanya, sama ada Institusi Diraja ataupun rakyat memberi maklum balas kami tidak menjalankan tugas dengan baik, pada saya, kita tidak melakukan tanggungjawab yang baik. Kita sentiasa peka terhadap maklum balas diberikan,” katanya. 

PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala penamaan calon pada 27 Jun.  - Bernama