JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor hampir melengkapkan proses pemilihan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, apabila kira-kira 80 peratus calon telah dikenal pasti dan dimuktamadkan.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemilihan calon tidak hanya tertumpu kepada faktor umur, sebaliknya berdasarkan kemampuan seseorang untuk berkhidmat kepada rakyat serta diterima pengundi.
Menurutnya, gabungan calon yang bakal diketengahkan merangkumi pelbagai latar belakang termasuk calon muda dan berpengalaman serta mewakili pelbagai kaum.
“Kita akan memilih calon yang paling boleh diterima dan mempunyai peluang kemenangan terbaik di kawasan masing-masing.
“Ada calon muda, ada calon lama, pelbagai bangsa. Itu semangat BN dari dulu dan akan diteruskan,” katanya ketika kediaman rasminya di Saujana, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu Onn Hafiz menegaskan, BN Johor tidak mahu terburu-buru dalam soal pemilihan calon kerana masih ada masa lagi untuk membincangkannya.
“Kita belum muktamadkan, masih bercakap (berbincang) dengan (Presiden MCA), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, (Pengerusi MIC Johor), K Raven; (Timbalan Pengerusi MCA Johor), Ling Tian Soon dan (Setiausaha MCA Johor), Lee Ting Han,” katanya.
Beliau memberitahu, senarai calon dan manifesto BN akan diumumkan minggu depan.