KETUA jurulatih Portugal, Roberto Martinez menepis kebimbangan mengenai prestasi pasukannya dan kemarau jaringan bintang utama, Cristiano Ronaldo selepas Portugal sekadar seri 1-1 dengan Republik Demokratik Congo.
Ronaldo gagal menjaringkan gol untuk perlawanan kelima berturut-turut di Piala Dunia dan kali ke-10 berturut-turut dalam kejohanan utama termasuk Piala Dunia serta Kejohanan Eropah.
Malah, Ronaldo tidak menjaringkan gol padang terbuka dalam kejohanan utama sejak 19 Jun 2021.
Dalam tempoh itu, Portugal hanya menghasilkan satu gol dalam empat perlawanan terakhir mereka di pentas utama meskipun Ronaldo hampir beraksi sepanjang masa.
Penyerang Al Nassr itu bermain penuh 90 minit ketika menentang Congo, namun hanya melepaskan tiga percubaan dan tiada satu pun tepat ke sasaran.
Ia juga kali keenam Ronaldo menamatkan aksi Piala Dunia tanpa sebarang percubaan tepat.
Bagaimanapun, Martinez menolak cadangan supaya Ronaldo dikeluarkan ketika Portugal memburu gol kemenangan.
“Tidak masuk akal untuk mengeluarkan penjaring gol terbaik dalam bola sepak dunia ketika pasukan memerlukan jaringan,” katanya.
Ronaldo kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal dengan 143 gol antarabangsa.
Beliau juga muncul pemain kedua dalam sejarah yang beraksi dalam enam edisi Piala Dunia selepas Lionel Messi mencapai pencapaian sama sehari lebih awal.
Namun, impiannya untuk menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia berakhir hampa selepas gagal menemui sentuhan penyudah.
Martinez melihat masalah utama Portugal bukan berpunca daripada Ronaldo, sebaliknya sikap terlalu berhati-hati selepas gol awal yang dijaringkan João Neves pada minit keenam.
“Kami bermula dengan sangat baik. Tahap permainan, kawalan bola dan cara kami memasuki kawasan penalti sangat memuaskan.
“Biasanya apabila menjaringkan gol awal, emosi itu membantu pasukan terus mengawal permainan dan memburu gol kedua. Namun kali ini, kesannya adalah sebaliknya.
“Kami terlalu mahu mengekalkan penguasaan bola. Kami memberi ruang kepada Congo untuk menyusun semula benteng pertahanan dan melancarkan serangan balas. Kami kehilangan ancaman di bahagian hadapan dan itu membantu mereka,” katanya.
Congo yang tampil di Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 52 tahun menjadi negara Afrika kedua mencatat keputusan positif menentang pasukan Eropah dalam kejohanan kali ini selepas Cape Verde mengikat Sepanyol tanpa jaringan pada Selasa lalu.
Walaupun keputusan itu mengecewakan, Martinez menegaskan Portugal tidak perlu panik kerana kejohanan seperti Piala Dunia sering menyaksikan permulaan yang sukar buat pasukan besar.
“Piala Dunia memang penuh dengan situasi seperti ini. Argentina pernah tewas kepada Arab Saudi pada 2022 sebelum muncul juara dunia. Pada 2010, Sepanyol tewas kepada Switzerland sebelum akhirnya menjulang trofi.
“Kita bercakap mengenai perlawanan pertama Piala Dunia. Selepas menjaringkan gol pembukaan, emosi memberi kesan negatif kepada prestasi kami. Kami berhenti mengambil risiko, berhenti mencari ruang dan gagal menembusi kawasan serangan.
“Ia lebih berkaitan dengan faktor emosi berbanding taktikal atau teknikal. Perkara seperti ini boleh berlaku. Kini tugas kami ialah menilai kelemahan itu dan memperbaikinya menjelang perlawanan kedua,” katanya.