Pemandu lori, bas gesa penguatkuasaan lebih adil

Iklan
Pertubuhan Pemandu Lori dan Bas Negeri Perak menggesa kerajaan serta agensi berkaitan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih adil dan seimbang terhadap pemandu kenderaan perdagangan dengan mengambil kira tanggungjawab majikan serta realiti operasi industri pengangkutan.

IPOH – Pertubuhan Pemandu Lori dan Bas Negeri Perak menggesa kerajaan serta agensi berkaitan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih adil dan seimbang terhadap pemandu kenderaan perdagangan dengan mengambil kira tanggungjawab majikan serta realiti operasi industri pengangkutan.

Pengerusinya, Azmi Jamid berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya usaha kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguat kuasa lain dalam memastikan keselamatan jalan raya serta pematuhan undang-undang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tanggungjawab terhadap keselamatan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu pemandu, sebaliknya perlu dipikul bersama oleh majikan dan pemain industri selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 514).

“Pemandu lori dan bas merupakan tulang belakang kepada rantaian bekalan dan mobiliti rakyat. Namun, mereka berdepan pelbagai cabaran termasuk pematuhan had muatan, sistem mata demerit, tekanan kerja, tempoh pemanduan yang panjang serta risiko tindakan undang-undang yang sering ditanggung secara individu.

Iklan

“Isu-isu ini perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira kesejahteraan pemandu dan keperluan operasi industri pengangkutan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Azmi berkata, pertubuhan itu mencadangkan supaya penguatkuasaan dilaksanakan secara seimbang antara Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan OSHA 514, termasuk mengambil kira arahan serta tekanan yang diterima pemandu daripada pihak majikan.

Iklan

Beliau berkata, tindakan tegas juga perlu dikenakan terhadap majikan yang memaksa pekerja melanggar undang-undang, selain melaksanakan audit terhadap sistem kerja syarikat pengangkutan.

Beliau turut mencadangkan agar perlindungan terhadap pemandu sebagai pekerja diperkukuhkan menerusi kawalan had masa pemanduan, pelaksanaan sistem kerja yang selamat serta jaminan terhadap kebajikan dan keselamatan pekerja.

Dalam pada itu, beliau berharap pertubuhan pemandu diberikan ruang untuk terlibat dalam sesi dialog dan perbincangan dasar bersama kementerian serta agensi berkaitan bagi memastikan suara golongan berkenaan didengar.

Jelasnya, struktur gaji minimum yang lebih khusus dan adil, elaun perjalanan yang munasabah serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyeluruh perlu diberi perhatian bagi meningkatkan kebajikan pemandu.

Azmi berkata, pendekatan pendidikan dan kesedaran juga perlu dipertingkatkan melalui lebih banyak program latihan bagi membantu pemandu memahami serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Beliau turut menggesa kerajaan menjalankan kajian semula terhadap operasi industri pengangkutan bagi mengenal pasti cabaran sebenar yang dihadapi pemandu di lapangan supaya dasar yang digubal lebih praktikal dan berkesan.

Katanya, kerjasama erat antara kerajaan, agensi penguat kuasa, majikan, pemain industri dan pertubuhan pemandu amat penting dalam mewujudkan penyelesaian yang mampan.

“Keselamatan jalan raya bukan sekadar isu penguatkuasaan, tetapi turut melibatkan aspek pekerjaan, kebajikan dan keadilan dalam industri pengangkutan.

“Matlamat kami adalah untuk memartabatkan kerjaya pemandu, meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan kebajikan mereka terus terpelihara,” katanya.