KUANTAN – Seorang lelaki yang hilang selepas terjatuh dari bot di Sungai Kobat berhampiran Taman Impian di sini pada Selasa lalu ditemukan lemas awal pagi Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mayat Muhammad Firdaus Zuharsema, 26, ditemukan pasukan penyelamat pada jam 2.30 pagi di lokasi kira-kira 300 meter dari tempat mangsa terjatuh.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kedua bermula pada jam 7.15 pagi, membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota serta BBP Taman Tas.
“Operasi turut disertai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pekan dan PPDA BBP Kuantan, selain Unit Anjing Pengesan (K9) bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Amal Malaysia dan orang awam.
“Pencarian menggunakan teknik pencarian di permukaan air sejauh satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh, manakala pasukan PPDA melakukan selaman sejauh 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh pada kedalaman tujuh meter,” katanya.
Dalam kejadian pada Selasa lalu, mangsa yang berada di bahagian hadapan bot dipercayai tercampak ke dalam sungai selepas bot yang dinaikinya bersama rakan terlanggar bongkah kayu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, rakan mangsa, Badrul Afiq Jaillany Zam Zam, 24, selamat.
Kejadian berlaku ketika dua rakan karib sejak kecil itu menaiki bot menuju ke jeti selepas keluar mencari umpan untuk rawai baung.