Putrajaya dilihat semakin 'berpenyakit'

Iklan
Putrajaya sudah dibina dengan begitu indah dan terancang. Sayang, keindahannya boleh hilang seri hanya kerana sikap ‘nak senang sendiri’. Foto hiasan

SEDIH juga bila difikirkan apabila banyak masalah berlaku dalam masyarakat kita sebenarnya berpunca daripada sikap sendiri.

Baru-baru ini, Merak Jalanan menerima cerita daripada seorang rakan yang berkunjung ke Putrajaya. Niatnya ingin melihat sendiri keindahan pusat pentadbiran negara yang terkenal dengan landskap menarik dan moden.

Iklan
Iklan

Namun, lain pula yang menarik perhatian. Katanya, 'sakit mata' melihat deretan kenderaan diparkir sesuka hati termasuk di kaki lima. Kawasan yang sepatutnya kemas dan cantik, tiba-tiba jadi semak dek kerana sikap segelintir yang tidak peduli peraturan.

Bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah menyusahkan pejalan kaki, apatah lagi kalau warga emas atau ibu bapa bersama anak kecil.

Iklan

Merak Jalanan cuba juga berfikiran positif. Mungkin kenderaan itu milik orang kurang upaya (OKU), tetapi tiada pula tanda atau pelekat khas.

Yang ada hanyalah kenderaan biasa diparkir di lokasi luar biasa. Lebih mengejutkan, jumlahnya bukan sedikit. Seolah-olah sudah jadi kebiasaan. Sedangkan bukan tiada parkir berdekatan, mungkin perlu berjalan sedikit jauh.

Iklan

Di sinilah persoalannya sama ada sikap malas atau terlalu selesa melanggar peraturan?

Bagi Merak Jalanan, ini bukan sekadar isu parkir. Ini soal disiplin dan sikap. Kalau perkara kecil begini pun boleh ambil mudah, bagaimana pula hal lebih besar?

Pihak berkuasa memang perlu tegas. Penguatkuasaan harus dipertingkatkan supaya ada rasa gerun untuk melanggar peraturan.

Namun, semua kembali kepada diri sendiri. Putrajaya sudah dibina dengan begitu indah dan terancang. Sayang, keindahannya boleh hilang seri hanya kerana sikap ‘nak senang sendiri’. Perbadanan Putrajaya, di mana anda?