Wanita Gaza inspirasi WQHS 2026

Iklan
Wanita di Palestin melalui kehidupan yang sangat sukar disebabkan penjajahan yang terlalu lama. Foto AFP

SHAH ALAM – Ketabahan dan kekuatan wanita Palestin khususnya di Gaza menjadi inspirasi utama pemilihan tema 'Women of Grit' bagi penganjuran Women #QuranHour Summit (WQHS) 2026 yang akan berlangsung di Masjid Negeri Shah Alam pada 24 Jun ini.

Presiden Asia Pacific Women's Coalition for Al-Quds and Palestine (ApWCQP), Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, dalam masa sama ia juga bertujuan menyatakan sokongan dan solidariti kepada wanita di Gaza serta memperluaskan kesedaran mengenai perjuangan mereka dalam menuntut keadilan dan pembebasan Palestin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, wanita di Palestin melalui kehidupan yang sangat sukar disebabkan penjajahan (selama 78 tahun) yang memang bertujuan untuk menghapuskan mereka daripada tanah air.

“Semasa saya berada di atas pelayaran Women Boat to Gaza dalam tahun 2016, kami memberi gelaran 3R untuk wanita di Gaza iaitu Resilience, Resolute dan Resourceful,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP) dan ApWCQP bakal menganjurkan program Women Summit & Women #QuranHour: Women of Grit di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

WQHS 2026 akan berlangsung di Masjid Negeri Shah Alam pada 24 Jun ini.

Iklan

Program yang akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu menyasarkan penyertaan seramai 500 peserta.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Saff Women Empowerment yang dilancarkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sempena World #QuranConvention Surah Al-Saff pada Disember 2025.

Tambah Fauziah, wanita Palestin mencerminkan makna sebenar wanita berjiwa kental apabila terus membina kehidupan, meneruskan pendidikan dan memelihara hubungan dengan al-Quran walaupun dalam suasana konflik yang berpanjangan.

Beliau memberi contoh, ramai wanita di Gaza kehilangan anak, suami, keluarga, rumah dan harta benda, namun tetap tabah meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.

“Pada masa yang sama, kami berharap peserta dapat memainkan peranan dalam memperbaiki masyarakat berasaskan panduan al-Quran serta menyumbang kepada pembangunan ummah yang lebih sejahtera,” ujarnya.

Fauziah turut menyeru masyarakat agar terus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mempertahankan dan memelihara Masjid Al-Aqsa yang berdepan pelbagai ancaman.

Fauziah

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penaja yang menyokong penganjuran program tersebut antaranya setakat 15 Jun 2026 adalah Wakaf Felda, Warda, Mahabbah dan Rumah Ngaji Negeri Sembilan.

“Kami juga ingin mengalu-alukan penyertaan lebih ramai penaja dan penyumbang bagi menjayakan program berkenaan. Orang ramai dijemput menghadiri WQHS 2026,” ujar beliau.