Pendidikan bukan bahan politik

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan isu sistem kemasukan ke universiti awam.

HAKIKATNYA, pendidikan dan kesihatan antara elemen paling sensitif dalam kehidupan masyarakat. Ia bukan sekadar perkhidmatan, tetapi asas pembinaan modal insan dan kekuatan negara.

Tidak hairanlah dalam Belanjawan 2026, kedua-dua sektor ini terus menerima peruntukan terbesar. Pendidikan diperuntukkan RM66.2 bilion manakala kesihatan menerima RM46.5 bilion, ia satu gambaran jelas komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Iklan
Iklan

Namun, timbul pula dakwaan Exco Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah mengenai sistem kemasukan ke universiti awam kononnya boleh ‘dibeli’ pihak tertentu.

Lebih membimbangkan apabila dakwaan itu turut menyebut kira-kira 30,000 pelajar layak didakwa dinafikan tempat akibat amalan tidak telus serta kewujudan ‘pintu belakang’.

Iklan

Jika benar, ia bukan sahaja satu kegagalan, malah pengkhianatan terhadap prinsip meritokrasi pendidikan tinggi negara.

Isu ini tidak boleh dipandang ringan. Jika dakwaannya berasas, tindakan tegas mesti diambil. Mereka yang menyalahgunakan amanah perlu dipertanggungjawabkan. Hak pelajar tidak boleh dinafikan hanya kerana ketirisan atau manipulasi sistem.

Iklan

Namun, jika dakwaan itu tidak benar, ia juga tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan. Tuduhan tanpa bukti kukuh merosakkan reputasi institusi pengajian tinggi awam serta menggugat kepercayaan masyarakat terhadap keseluruhan sistem pendidikan negara.

Dalam hal ini, tindakan pantas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk meneliti dakwaan tersebut adalah langkah tepat. Siasatan menyeluruh perlu dilakukan secara telus agar kebenaran dapat ditegakkan.

Apa yang lebih penting, isu ini tidak seharusnya menjadi bahan percaturan politik.

Pendidikan bukan pentas untuk menimbulkan persepsi atau memainkan sentimen. Ia adalah hak rakyat, hak untuk belajar, membina masa depan, dan keluar daripada belenggu kesusahan.

Akhirnya, sama ada dakwaan itu benar atau tidak, prinsipnya tetap sama. Pendidikan mesti dipelihara daripada sebarang unsur kepentingan sempit kerana apabila pendidikan dipolitikkan, yang menjadi mangsa bukan institusi atau individu tertentu, tetapi masa depan generasi negara itu sendiri.