BEIRUT – Penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman akibat konflik bersenjata mula kembali ke bandar dan kampung yang musnah di selatan Lubnan susulan pengumuman awal gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Memetik laporan Al Jazeera, kepulangan itu bagaimanapun 'tidak disambut' dengan kelegaan sepenuhnya apabila ramai mendapati rumah yang pernah menjadi tempat berteduh kini hanya tinggal runtuhan.
Bangunan kediaman, premis perniagaan dan kemudahan awam rosak teruk selepas berbulan-bulan dibadai serangan udara serta pertempuran rentas sempadan, sehingga ada kawasan yang hampir tidak dapat dikenali lagi.
Sebaik berita mengenai gencatan senjata tersebar, penduduk yang sebelum ini berlindung di rumah saudara-mara, sekolah dan pusat perlindungan sementara di kawasan lebih selamat mula pulang untuk melihat sendiri keadaan harta benda mereka.
Di beberapa kawasan di selatan Lubnan, penduduk dilihat memanjat timbunan konkrit dan besi bagi mencari dokumen penting, pakaian, gambar keluarga serta barangan yang masih boleh diselamatkan.
Ada yang sekadar berdiri terpaku memandang sisa kediaman yang musnah, manakala sebahagian lagi cuba membersihkan kawasan rumah dengan harapan dapat memulakan kehidupan baharu walaupun serba kekurangan.
Menurut Al Jazeera, ada keluarga yang hanya singgah untuk mengambil keperluan asas sebelum kembali ke lokasi perlindungan sementara kerana bimbang keganasan boleh tercetus semula sekiranya gencatan senjata gagal dipatuhi sepenuhnya.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila bekalan elektrik, air bersih dan perkhidmatan asas lain masih belum pulih sepenuhnya di banyak kawasan terjejas.
Bagi mereka yang tidak mempunyai pilihan lain, kehidupan terpaksa diteruskan di tengah-tengah kemusnahan. Ada keluarga mendirikan khemah berhampiran rumah yang rosak, sementara jiran tetangga bergotong-royong membantu membersihkan kawasan kediaman.
Konflik di Lubnan semakin memuncak selepas Hizbullah melancarkan serangan roket ke arah Israel pada awal Mac sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel ke atas Iran.
Tindakan itu mencetuskan gelombang serangan balas yang berlarutan selama beberapa bulan dan mengakibatkan kemusnahan besar di selatan negara tersebut.
Kementerian Kesihatan Awam Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 3,798 orang terbunuh sejak serangan Israel bermula pada 2 Mac lalu.
Konflik itu turut memaksa kira-kira 1.2 juta penduduk meninggalkan kediaman masing-masing, sekali gus mencetuskan antara krisis perpindahan terbesar yang pernah dialami negara itu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun pengumuman gencatan senjata memberi sinar harapan kepada rakyat Lubnan yang keletihan akibat perang, jalan menuju pemulihan dijangka panjang dan mencabar.
Bagi ribuan keluarga yang pulang ke kampung halaman, mereka bukan sekadar berdepan tugas membina semula rumah yang musnah, malah perlu memulihkan kehidupan yang terjejas serta mengubati trauma akibat konflik yang belum benar-benar berakhir. - Agensi
INFO
- Penduduk selatan Lubnan mula pulang selepas gencatan senjata AS-Iran diumumkan.
- Banyak rumah dan premis musnah akibat perang.
- Bekalan elektrik dan air masih terjejas.
- Sebahagian keluarga berlindung dalam khemah.
- Kebimbangan perang tercetus semula masih wujud.
- Konflik bermula selepas Hizbullah menyerang Israel pada awal Mac sebagai tindak balas terhadap negara itu yang melancarkan serangan ke atas Iran.
- Sekurang-kurangnya 3,798 terbunuh sejak 2 Mac.
- Kira-kira 1.2 juta penduduk hilang tempat tinggal akibat konflik.