KUALA LUMPUR - Pengasas Gerakan RESET juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin tiba bagi menghadiri Mesyuarat Ahli Parlimen Pembangkang di Pejabat Agung Pas di sini pada Rabu.
Turut hadir, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Beberapa Ahli Parlimen yang ditemui enggan mengulas lanjut mengenai perkara dibincangkan dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mesyuarat kali ini dijangka menyentuh pelbagai perkembangan politik semasa termasuk kemelut dalam PN.
Katanya, kenyataan media akan dikeluarkan selepas mesyuarat dan setakat ini tiada sebarang pengumuman khusus yang akan dibuat.
“Kita akan mengemukakan siaran media. Jadi, kita tidak ada apa yang hendak diumumkan buat masa ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Ditanya mengenai kehadiran Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ketua Penerangan Pas memaklumkan mesyuarat berkenaan hanya dihadiri mereka yang menerima jemputan khas.
Beliau tidak dapat mengesahkan sama ada ahli Parlimen parti berkenaan menyertai mesyuarat itu.
"Itu tidak pasti. Saya hanya dijemput juga oleh urusetia untuk datang malam ini.
"Mesyuarat melibatkan Ahli-Ahli Pembangkang yang terpilih sahaja," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin berpandangan kemelut yang melanda Perikatan Nasional (PN) dijangka menjadi antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
Katanya, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada agenda yang ditetapkan oleh pengerusi mesyuarat.
"Semua perkara dibincangkan dan ia serahkan kepada pengerusi mesyuarat,” katanya.