Lelaki tular pandu SUV rosak secara berbahaya ditahan

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah SUV yang mengalami kerosakan dipandu secara berbahaya.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan selepas didapati memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang rosak teruk secara berbahaya sehingga mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain di Jalan Kepong.

Tindakan individu berusia 26 tahun itu tular di media sosial memaparkan sebuah Perodua Aruz merah yang mengalami kerosakan teruk dipandu di lokasi terbabit.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku pada 6 Jun lalu kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan selepas tayar hadapan kanan dan tayar belakang kiri pecah sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Iklan

"Kemalangan itu menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kenderaan termasuk bumper, bonet, lampu, fender, rim serta tayar hadapan dan belakang.

Beliau berkata, pemandu terbabit bagaimanapun meneruskan perjalanan walaupun kenderaan dipandunya mengalami kerosakan teruk

Iklan

Katanya, tindakan pemandu itu bagaimanapun dikesan sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang sedang menjalankan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan berkenaan pada jam 1.15 pagi hari sama.

"Anggota polis mengesan kenderaan itu dipandu dalam keadaan mencurigakan dan membahayakan pengguna jalan raya di Jalan Kepong sebelum berjaya menahannya di hadapan sebuah premis di Jalan Barat, Jinjang Utara.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu tidak mempunyai rekod kesalahan atau jenayah lampau," katanya.

Mohd Zamzuri berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas lelaki terbabit turut didapati negatif.

Beliau berkata, video yang tular di media sosial itu disahkan berkaitan insiden kemalangan sama dan satu laporan polis dibuat pada 8 Jun lalu selepas kenderaan berkenaan berjaya ditahan.

"Kes disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.