Tun Faisal persoal dakwaan Pas dipaksa pilih antara dua kem Bersatu

Iklan
Kenyataan balas Tun Faisal di Facebook beliau mengenai dakwaan yang dibuat Annuar.

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan dakwaan Pas kononnya terpaksa membuat pilihan antara dua kem dalam Bersatu sehingga menyebabkan hubungan politik antara kedua-dua parti itu diputuskan.

Beliau berkata, kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa Pas seolah-olah dipaksa memilih antara kem dikaitkan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin adalah mengelirukan serta tidak bersandarkan fakta sebenar.

Iklan
Iklan

Kata beliau, persoalan utama yang perlu dijawab ialah siapa sebenarnya yang memaksa Pas membuat pilihan sedemikian.

“Siapa yang memaksa Pas membuat pilihan? Hamzah, (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi atau (Datuk Seri ) Anwar Ibrahim?

Iklan

Terdahulu, Annuar dilapor menggesa pimpinan Bersatu supaya bertenang dan tidak tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan terkini dalam PN susulan kemelut yang melanda gabungan parti itu ketika ini.

“Saya harap pimpinan Bersatu dapat bertenang. Jangan terlalu banyak ‘jump the gun’ (mendahului). Ia tidak membantu.

Iklan

"Setakat ini hanya hubungan politik Pas-Bersatu sahaja dihentikan. Itu pun setelah Pas seolah-olah dipaksa pilih antara dua, Bersatu kem Muhyiddin atau Bersatu kem Hamzah," kata Annuar.

Tun Faisal turut mendakwa kemelut yang berlaku dalam Bersatu berpunca daripada campur tangan Pas dalam urusan dalaman parti itu yang didakwa telah berlaku sejak awal tahun lalu.

Beliau mendakwa, tindakan beberapa pemimpin Pas yang didakwa memberi sokongan kepada Hamzah telah menimbulkan persepsi bahawa parti itu menyebelahi pihak tertentu dalam konflik dalaman Bersatu.

“Berdasarkan rakaman audio mirip suara (Datuk) Wan Saiful Wan Jan, lima pemimpin Pas termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dikatakan berkunjung ke pejabat Hamzah pada Februari 2025 dan Abdul Hadi sendiri menyatakan bahawa Muhyiddin bukan calon Perdana Menteri bagi Pas.

"Sebaliknya Hamzah adalah calon Perdana Menteri bagi Pas. Bukankah ini tikam belakang," soal beliau.

Selain itu, beliau mendakwa Pas bukan sahaja gagal memperbaiki hubungan dalam PN, malah telah bertindak melanggar semangat setiakawan dan permuafakatan apabila terus memberikan sokongan kepada individu yang bukan lagi ahli Bersatu dan PN.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan keputusan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu ketika persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sedang giat dijalankan.

Katanya, tindakan tersebut berpotensi menjejaskan imej PN serta memberi kesan kepada persiapan gabungan itu untuk menghadapi pilihan raya.

Tun Faisal juga menolak alasan yang diberikan Pas berhubung isu penyatuan ummah sebagai justifikasi memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Menurutnya, naratif bahawa Bersatu menghalang agenda penyatuan ummah termasuk berkaitan kemasukan parti tertentu ke dalam PN adalah tidak berasas dan berniat jahat.

“Tidak wajar menggambarkan seolah-olah Pas tiada pilihan. Sebenarnya Pas yang memilih untuk memutuskan hubungan dan membuat onar sewaktu hampir dengan tempoh PRN.

“Apa tujuannya? Jangan menipu dan kata tindakan Pas ini demi penyatuan ummah atau demi kepentingan PN,” katanya.