SHAH ALAM - Pasangan suami isteri yang tular bertengkar di sebuah restoran makanan segera di Senai, Johor mendakwa insiden itu telah disalah tafsir sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai rumah tangga mereka.
Mohd Hakeem Latif, 32, berkata, kejadian yang dirakam individu yang tidak dikenali itu sebenarnya berlaku pada April lalu ketika dia mengambil isterinya, Nurul Ain Mohd Mokhtar, 37, pulang dari tempat kerja.
Menurutnya, ketika itu disebabkan rasa tertekan apabila dia bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan, manakala isterinya bekerja syif pagi di restoran makanan segera berkenaan.
"Saya datang ambil dia balik kerja jam 6 petang, tetapi dia pula perlu bekerja lebih masa.
Dia turut menjelaskan tangisan anak mereka yang berusia dua tahun dalam video berkenaan awalnya bukanlah disebabkan dimarahi atau dikasari sebaliknya terjatuh akibat tersadung pada lantai koridor.
Mengulas mengenai rakaman yang tular, Mohd Hakeem mengakui dirinya seorang yang panas baran, namun menafikan pernah bertindak memukul isterinya.
“Saya memang seorang yang baran hingga meninggikan suara, tapi itulah kadang-kadang boleh kawal, kadang-kadang tidak.
"Apa pun saya tidaklah pernah naik tangan terhadap isteri mahupun anak tunggal kami," katanya lagi.
Tambahnya, penularan video tersebut menyebabkan ramai individu menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan malah, ada menggesa isterinya untuk menuntut penceraian.
Dia menganggap perpisahan bukan jalan penyelesaian kepada isu berkenaan.
“Saya tidak pernah terfikir untuk bercerai. Kami sudah lima tahun berkahwin dan saya masih sayangkan keluarga saya.
“Meruntuhkan rumah tangga orang bukan perkara yang baik dan saya tidak pernah terfikir ke arah itu,” katanya.
Menurut Mohd Hakeem, dia dan isteri selama ini bergilir-gilir menjaga anak memandangkan kedua-duanya bekerja mengikut syif berbeza dan majikan menasihatkan untuk bercuti susulan tekanan yang timbul daripada video itu.
“Saya kecewa dengan rakaman itu, tetapi apa yang berlaku saya anggap sebagai pengajaran.
"Baik atau buruk, saya terima dan ambil iktibar,” ujarnya.
Sementara itu, Nurul Ain turut menjelaskan hubungan mereka berada dalam keadaan baik dan berharap orang ramai tidak membuat andaian tanpa mengetahui keadaan sebenar.
Menurutnya, penularan semula rakaman itu menyebabkan dia dan suami terpaksa memberi penjelasan kepada ahli keluarga serta kenalan yang menyangka berlaku masalah dalam rumah tangga mereka.
"Ramai yang membuat kesimpulan sendiri sedangkan mereka tidak mengetahui perkara sebenar.
"Kami dalam baik-baik sahaja. Selepas suami tukar kerja baru di Kulai, urusan menjaga anak juga lebih teratur berbanding ketika suami bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum ini," katanya.
Dia yang hamil tiga bulan mengakui bimbang dengan keselamatan suaminya berikutan kecaman yang diterima di media sosial selain nombor pendaftaran motosikal turut tular.
"Ada pihak kononnya mahu membuat laporan terhadap suami, saya pun tidak tahu hendak buat laporan polis pun tidak, takut nanti suami saya pula dikenakan tindakan hanya disebabkan video itu.
"Saya berharap individu yang memuat naik video itu dapat menurunkannya semula hantaran itu.
"Jika tidak tahu bertanyalah jangan sebarkan tanpa usul periksa. Keadaan sekarang ini sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan kami," ujarnya.
Terdahulu, tular satu rakaman video yang memaparkan dakwaan insiden pertengkaran melibatkan pasangan suami isteri di sebuah restoran makanan segera berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Menerusi hantaran di platform Threads oleh pengguna @sososobrino_, wanita terbabit didakwa sedang bekerja sebelum suaminya hadir ke premis berkenaan dan menjerit sambil menyuruhnya pulang untuk menjaga anak.
Dalam perkongsian sama, individu itu turut meluahkan pandangan bahawa tidak semua lelaki layak bergelar suami dan bapa, selain mempersoalkan tindakan lelaki berkenaan yang didakwa berkelakuan agresif di tempat awam.