KAZAN - Pemuktamadan Program Strategik ASEAN-Rusia mengenai Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan 2026-2035 merupakan langkah awal untuk lonjakan seterusnya dalam hubungan ekonomi, namun persekitaran kondusif penting untuk merealisasikannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.
Program itu dijadual diguna pakai pada akhir tahun ini, menyediakan pelan tindakan untuk fasa seterusnya hubungan ekonomi antara 11 negara anggota (blok ekonomi BRICS) dan Rusia dengan memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan, teknologi baharu dan daya tahan iklim.
"Bagaimanapun, rangka kerja sahaja tidak mencukupi. Kerajaan boleh mewujudkan keadaan yang membolehkan; mereka boleh menetapkan dasar, menghapuskan halangan, dan memudahkan kerjasama.
Forum itu dihadiri lebih 400 pemimpin korporat dan perniagaan dari Rusia dan negara anggota ASEAN.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, forum seperti yang diadakan pada Rabu adalah penting untuk membina hubungan, perkongsian dan idea yang membolehkan kerjasama melangkaui retorik dan memberikan hasil yang ketara.
Beliau menekankan bahawa ASEAN kekal komited terhadap sistem perdagangan antarabangsa berasaskan peraturan dan ia terus percaya bahawa kemajuan ekonomi paling baik dicapai menerusi kerjasama dan bukannya konfrontasi serta melalui libat urus dan bukannya peminggiran.
Perdana Menteri juga menggesa ASEAN dan Rusia untuk berwaspada supaya tidak membiarkan kebimbangan ini menghakis keterbukaan dan ketersambungan.
"Ketahanan ekonomi harus melengkapi kerjasama antarabangsa, bukan menggantikannya,” katanya.
Anwar menekankan bahawa sistem perdagangan pelbagai hala kekal sebagai tonggak kemakmuran global yang sangat penting.
"Namun ia mesti terus berkembang sebagai respons kepada realiti kontemporari dan mengekalkan tujuan asasnya: menyediakan kestabilan, kebolehramalan dan peluang untuk semua negara, tanpa mengira saiznya,” katanya.
Sehubungan itu, beliaun berkata, ASEAN dan Rusia boleh menyumbang secara bermakna dengan memperkukuh kerjasama praktikal berdasarkan saling menghormati, keterbukaan dan kepentingan bersama.
"Dengan membina hubungan lebih kukuh antara perniagaan, institusi dan rakyat, kita dapat membantu memupuk ekonomi global yang lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur.
"35 tahun yang lepas telah menyediakan asas yang kukuh untuk hubungan ASEAN-Rusia. Tugas di hadapan kita sekarang adalah untuk memastikan hubungan ini kekal relevan dengan realiti dunia yang sentiasa berubah,” katanya.
Anwar berkata, ASEAN dan Rusia harus memperkukuh ketersambungan, mempertingkatkan kerjasama ekonomi dan merebut peluang yang muncul daripada transformasi teknologi dan perubahan ekonomi.
"Marilah kita ubah muhibah menjadi perkongsian, perkongsian menjadi projek dan projek menjadi manfaat ketara untuk rakyat.
"Jika kita berjaya, fasa seterusnya dalam hubungan ASEAN-Rusia bukan sahaja akan ditakrifkan oleh hubungan ekonomi lebih kukuh tetapi juga oleh sumbangan bersama kepada kestabilan, daya tahan dan kemakmuran di seluruh rantau kita,” katanya.
Anwar kini berada di Kazan, ibu kota dan bandar terbesar Tatarstan, Rusia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia dari 17 hingga 18 Jun.
Semasa lawatan kerja dua hari itu, Perdana Menteri juga dijangka bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin. - Bernama