SHAH ALAM – Pas menggesa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya bertenang dan tidak tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan terkini dalam Perikatan Nasional (PN) susulan kemelut yang melanda gabungan parti itu ketika ini.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini tiada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN diadakan seperti yang diperkatakan dan sebarang notis mesyuarat hanya akan dikeluarkan apabila tiba masanya mengikut peraturan ditetapkan.
Menurutnya, semua ahli MT termasuk wakil daripada Bersatu akan menerima notis berkenaan apabila proses berkaitan selesai diteliti.
"Mesyuarat MT PN hari ini? Ramai pemberita bertanyakan hal ini, jawapannya tiada. Bila tiba masanya notis akan dikeluarkan mengikut peraturan kepada semua ahli MT termasuk ahli mewakili Bersatu
“Saya harap pimpinan Bersatu dapat bertenang. Jangan terlalu banyak ‘jump the gun’ (mendahului). Ia tidak membantu.
"Setakat ini hanya hubungan politik Pas-Bersatu sahaja di hentikan. Itu pun setelah Pas seolah-olah dipaksa pilih antara dua, Bersatu kem Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Bersatu kem Datuk Seri Hamzah Zainudin," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Muhyiddin pada Selasa dilapor berkata, Bersatu akan kekal dalam PN selain akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo PN.
Sebelum itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz Bersatu turut menegaskan bahawa parti itu akan menggunakan logo PN dalam kedua-dua PRN tersebut.
Tun Faisal juga memberitahu, parti berkenaan hanya menunggu jemputan mesyuarat daripada Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengulas lanjut, Annuar memaklumkan, keadaan itu memaksa Pas menghentikan hubungan dengan salah satu, walau pada awalnya parti itu berusaha dan mahukan kedua-duanya.
Menurutnya, setelah pilihan dibuat dan terpaksa dihentikan hubungan politik dengan kem Muhyiddin, proses seterusnya perlu diurus dengan cermat dan tidak terburu buru kerana banyak aspek undang-undang perlu diteliti.
"Selain itu perlu diambil kira ahli yang lain terutama Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Pas tak boleh buat sesuka hati.
"Begitu juga dengan Bersatu kem Hamzah. Ahli Bersatu yang terlibat tidak sedikit dan kita perlu ambil kira kedudukan dan hasrat mereka yang kekal mahu bersama PN," ujarnya.
Setelah hala tuju dan aspek perundangan sudah jelas, Annuar menegaskan, pastinya mesyuarat MT akan dipanggil menurut peraturan sedia ada serta akan dilaksanakan dengan penuh tertib.
Beliau menjelaskan, PN mempunyai perlembagaan dengan peruntukan-peruntukan yang mencukupi untuk semua bentuk tindakan yang mahu diambil.
"Yang penting Pas atau Bersatu tidak boleh bertindak sendiri secara unilateral. Pastinya semua kita fahami, MT adalah kuasa tertinggi dalam PN. Itu jelas tertulis, bagi hal tertentu MT boleh merujuk jika mahu kepada Majlis Presiden.
''Semua peraturan ini akan dipenuhi dan pengerusi PN tentunya amat memahami hal ini. Justeru elok jika dikurangkan kenyataan yang tidak membantu proses ini. Apa lagi kenyataan yang melanggar garis tatatertib parti anggota kerana ia boleh menjurus kepada satu tindakan lain pula," tegas beliau lagi.