Label Onn Hafiz sombong, Akmal Saleh 'tegur' PM

Iklan
Muhamad Akmal mendakwa, Onn Hafiz berpeluang mengkritik kerajaan PH berhubung beberapa manifesto pilihan raya yang menurutnya belum dilaksanakan, namun memilih untuk tidak berbuat demikian.

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tampil mempertahankan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa rakyat memilih pemimpin yang tidak sombong.

Menurut beliau, kenyataan itu menimbulkan persoalan sama ada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu merujuk kepada Onn Hafiz yang juga Pengerusi UMNO Johor.

Iklan
Iklan

“Jika ya, saya ingin mengingatkan bahawa sebelum ini Onn Hafiz pernah digelar budak-budak, dituduh bersikap rasis, dikatakan pengkhianat dan tidak mengenang budi,” katanya menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di media sosial pada Rabu.

Anwar ketika menyampaikan ceramah di Johor baru-baru ini menggesa rakyat di negeri berkenaan memilih pemimpin yang bijak dan tidak sombong serta sealiran dengan Putrajaya bagi membolehkan suatu dasar dilaksanakan dengan mudah.

Iklan

Bagaimanapun, Onn Hafiz dalam kenyataan balasnya menegaskan, beliau bukan bersikap sombong seperti yang didakwa, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab kepada institusi diraja dan memelihara kesejahteraan rakyat Johor.

Tambah Muhamad Akmal, selain itu terdapat juga pemimpin kerajaan Persekutuan yang didakwa pernah memperlekehkan penampilan fizikal pemimpin nombor satu Johor berkenaan.

Iklan

Bagaimanapun, menurut beliau, Onn Hafiz itu tidak pernah membalas serangan berkenaan dengan kata-kata kesat atau penghinaan.

“Adakah Onn Hafiz pernah membalas dengan cacian dan makian? Jawapannya tidak.

“Apa yang beliau lakukan hanyalah mempertahankan prinsip sebagai pemimpin UMNO yang mendengar suara akar umbi, termasuk pendirian bahawa UMNO tidak mahu bekerjasama dengan PH dalam Pilihan Raya Negeri Johor sebelum ini,” katanya.

Dalam masa sama, Muhamad Akmal mendakwa, Onn Hafiz berpeluang mengkritik kerajaan PH berhubung beberapa manifesto pilihan raya yang menurutnya belum dilaksanakan, namun memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Onn Hafiz boleh sahaja menyerang balik dan membangkitkan isu manifesto yang belum ditunaikan, tetapi beliau tidak berbuat demikian kerana fokusnya adalah untuk membangunkan Johor dan berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri pihak yang sebenarnya bersikap sombong dan angkuh dalam arena politik negara.

“Kepada rakyat Johor dan rakyat Malaysia, anda boleh melihat sendiri siapa yang sebenarnya sombong dan siapa yang lebih gemar melabel serta menghina pihak lain. Akhirnya rakyat akan membuat penilaian di kertas undi,” katanya.