Salah guna pas: Imigresen tahan 62 warga asing

Iklan
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan JIM di Selangor pada Isnin.

SHAH ALAM – Tindakan segelintir warga asing menyalahgunakan pas terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 62 individu dalam operasi khas di beberapa lokasi sekitar Selangor pada Isnin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan JIM itu melibatkan seramai 30 pegawai dan dijalankan hasil risikan serta maklumat yang diterima daripada orang awam.

Iklan
Iklan

“Sebanyak 17 premis meliputi kilang pembuatan perabot, kilang papan, kedai makan, kedai runcit serta kawasan penjaja telah diperiksa dalam operasi tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zakaria berkata, hasil pemeriksaan ke atas 210 individu yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing mendapati, seramai 62 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Iklan

"Siasatan awal mendapati sebahagian daripada warga asing yang ditahan dipercayai menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan dengan menjalankan pekerjaan atau aktiviti yang tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan mereka ke negara ini," katanya.

Katanya, perbuatan tersebut merupakan pelanggaran serius terhadap syarat pas dan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

Iklan

"Dalam operasi sama, sebanyak 11 borang saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada majikan bagi membantu siasatan lanjut berhubung penggajian warga asing serta tahap pematuhan terhadap peruntukan undang-undang imigresen," katanya.

Beliau berkata, kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya bagi tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut.

“JIM akan terus memperkukuh dan memperhebat operasi penguatkuasaan secara berterusan di seluruh negara bagi membanteras salah guna pas, penyalahgunaan kemudahan imigresen serta sebarang bentuk pelanggaran undang-undang imigresen,” katanya.

Zakaria berkata, majikan diingatkan agar sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam penggajian warga asing.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar syarat pas serta peraturan imigresen," katanya.