KLUANG - Perbualan mengenai latihan membaling grenad yang dikongsi Prebet Siti Khadijah Sungip menerusi aplikasi WhatsApp sehari sebelum kejadian kini menjadi kenangan terakhir yang sukar dilupakan keluarganya.
Kakak Allahyarham, Siti Zaiha, 39, berkata adiknya sempat berkongsi sekeping gambar ketika menjalani latihan menembak pada tengah malam 15 Jun dan memaklumkan bahawa latihan membaling grenad akan diteruskan keesokan harinya.
Menurut Siti Zaiha, adiknya sebelum itu memaklumkan bahawa dia sedang mengikuti latihan selama lapan hari yang melibatkan pelbagai modul termasuk latihan menembak dan membaling bom tangan.
“Seperti biasa, arwah aktif berhubung dengan kami dalam kumpulan keluarga. Dia ada berkongsi gambar ketika menjalani latihan malam sebelum kejadian,” katanya sambil menahan sebak.
Siti Zaiha yang bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan berkata, kali terakhir adiknya pulang ke rumah adalah kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha lalu.
Pada pagi hari kejadian, arwah masih sempat menghantar pesanan kepada keluarga dan memaklumkan bahawa dia berada dalam kumpulan terakhir yang dijadualkan menjalani latihan membaling bom tangan.
“Dia beritahu lokasi latihan dan kami hanya mampu berpesan supaya berhati-hati. Dengar arahan jurulatih dengan teliti dan sentiasa fokus.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa itu akan menjadi perbualan terakhir kami dengannya,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Koperal Norazmi, Prebet Siti Khadijah maut ketika baling grenad
Dua anggota tentera maut terkena bom semasa latihan
Letupan di Kem Hobart: TDM sahkan identiti dua anggota terkorban
Dua tentera maut terkena bom: Polis jalan siasatan menyeluruh termasuk rakam saksi kejadian
Jenazah Koperal Norazmi dikebumi selepas bedah siasat, Prebet Siti Khadijah dibawa pulang ke Johor
Polis rakam keterangan tujuh individu bantu siasatan insiden letupan anggota tentera
"Namun kira-kira pukul 1 tengah hari saya menerima panggilan memaklumkan adik saya terlibat dalam kemalangan. Pada mulanya saya sangka kemalangan biasa atau kemalangan jalan raya," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Taman Sri Lambak, di sini hari ini.
Menurutnya, tidak lama selepas itu beliau menerima satu lagi panggilan yang memaklumkan kejadian berkenaan berlaku semasa latihan ketenteraan dan adiknya telah meninggal dunia.
Siti Zaiha berkata, kehilangan adik bongsunya itu amat sukar diterima kerana Allahyarham sentiasa ceria dan tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika pulang bercuti sempena Aidiladha baru-baru ini.
"Kali terakhir kami berjumpa seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha. Dia nampak gembira seperti biasa dan tidak menunjukkan apa-apa petanda," katanya.
Dalam kejadian pada pukul 10.57 pagi semalam di Kem Hobart, Gurun, Kedah, Siti Khadijah, 24, dan seorang lagi anggota, Koperal Norazmi Abu Bakar, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani akibat kecederaan parah susulan letupan ketika latihan membaling grenad.
Sementara itu, bapa Allahyarham, Sungip Jais, 65, berkata anak bongsunya yang merupakan anak ketujuh daripada tujuh beradik memilih menyertai Tentera Darat Malaysia (TDM) kerana minat mendalam terhadap kerjaya ketenteraan serta mahu meneruskan legasi keluarga.
Bekas anggota Rejimen Artileri Diraja (RAD) itu berkata Allahyarham pernah menyatakan hasrat untuk menangguhkan perkahwinan kerana mahu menjaga kedua-dua ibu bapanya terlebih dahulu.
"Dia selalu cakap belum mahu fikir soal kahwin kerana mahu jaga mak dan ayah dahulu," katanya dalam nada sebak.
Allahyarham yang dilahirkan pada 19 September 2002 di Kluang pernah menerima pengiktirafan sebagai Perajurit Muda Wanita Akademik Terbaik pada Januari lalu selepas mencatat keputusan cemerlang sepanjang menjalani latihan asas ketenteraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan.
Beliau mengikuti latihan sebagai Perajurit Muda Wanita daripada Kompeni Juliet sebelum diserapkan ke Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
Jenazah Allahyarhamah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak, Kluang, petang ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Koperal Norazmi, Prebet Siti Khadijah maut ketika baling grenad
Dua anggota tentera maut terkena bom semasa latihan
Letupan di Kem Hobart: TDM sahkan identiti dua anggota terkorban
Dua tentera maut terkena bom: Polis jalan siasatan menyeluruh termasuk rakam saksi kejadian
Jenazah Koperal Norazmi dikebumi selepas bedah siasat, Prebet Siti Khadijah dibawa pulang ke Johor
Polis rakam keterangan tujuh individu bantu siasatan insiden letupan anggota tentera