PRN Johor, Negeri Sembilan medan ujian Pas selepas putus dengan Bersatu

Iklan
Mohd Amar berkata, PRN Johor dan Negeri Sembilan akan menjadi petunjuk paling jelas terhadap penerimaan pengundi Pas.

KOTA BHARU – Pas mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bakal menjadi medan ujian pertama untuk menilai kesan sebenar keputusan parti itu memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perkembangan yang berlaku ketika ini sememangnya memberi kesan kepada landskap politik, namun terlalu awal untuk menentukan sama ada impaknya positif atau negatif.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ukuran sebenar hanya dapat dilihat menerusi keputusan pilihan raya yang bakal berlangsung di kedua-dua negeri berkenaan.

"Kalau negatif, sejauh mana impaknya. Kalau positif pun, berapa besar kesannya. Semua itu kita belum boleh nilai kerana isu ini masih terlalu baharu," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Rabu.

Iklan

Sebelum itu beliau hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pengkalan Chepa Kali Ke 54 yang dirasmikan oleh dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Ujar Mohd Amar, PRN Johor dan Negeri Sembilan akan menjadi petunjuk paling jelas terhadap penerimaan pengundi selepas Pas mengambil keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Iklan

"Saya nampak pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan inilah yang mungkin boleh menjadi pengukur sebenar apa yang berlaku apabila kita mengambil keputusan putus dengan Bersatu.

"Di situlah antara ujian yang akan kita lihat," katanya.

Menurut beliau, selain faktor sentimen pengundi, Pas juga perlu memastikan segala isu teknikal berkaitan gerak kerja pilihan raya dapat diselesaikan dengan baik bagi menghadapi cabaran tersebut.