Rumah Putih tolak permintaan Israel semak semula MoU AS-Iran

Iklan
Benjamin Netanyahu. Foto PressTV.

WASHINGTON – Rumah Putih dilaporkan menolak permintaan rasmi Israel untuk menyemak semula memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi menamatkan konflik di Asia Barat.

Menurut laporan beberapa media Israel, termasuk Channel 12, Tel Aviv mengemukakan permintaan kepada Washington untuk meneliti semula kandungan MoU berkenaan, namun ia ditolak oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Iklan
Iklan

Koresponden Channel 12, Yaron Avraham melaporkan bahawa pegawai Israel masih tidak mengetahui secara terperinci kandungan sebenar memorandum tersebut meskipun ia melibatkan isu keselamatan serantau yang memberi kesan langsung kepada negara itu.

Perkembangan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Israel yang secara terbuka mempertikaikan perjanjian tersebut serta menyifatkan ia tidak mengubah pendirian Tel Aviv terhadap Teheran.

Iklan

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengakui beliau sendiri masih belum mengetahui butiran penuh MoU berkenaan.

"Saya tidak pasti mengenai butiran perjanjian itu," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Iklan

Media berbahasa Ibrani turut melaporkan wujudnya 'kekecewaan mendalam' dalam kalangan pegawai kanan Israel terhadap persefahaman tersebut.

Menurut stesen televisyen i24, Israel melihat secara negatif beberapa peruntukan dalam MoU, khususnya yang berkaitan pengunduran dari Lubnan serta penamatan serangan terhadap negara itu.

Seorang sumber yang dipetik i24 malah menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai sesuatu yang 'memalukan'.

Dalam masa sama, pegawai Israel dilaporkan memaklumkan kepada Washington bahawa Tel Aviv tidak menganggap dirinya terikat dengan memorandum yang dipersetujui antara AS dan Iran itu.

"Perjanjian dengan Iran dibuat oleh Trump dan itu adalah keputusannya. Kami mempunyai kepentingan sendiri," kata Netanyahu.

Trump sebelum ini mengumumkan gencatan senjata susulan konflik terbaharu melibatkan AS, Israel dan Iran selepas Teheran melancarkan tindak balas ketenteraan terhadap kepentingan kedua-dua negara itu di rantau berkenaan.

Iran turut menegaskan bahawa sebarang penghentian permusuhan perlu meliputi semua medan konflik termasuk Lubnan, sambil memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu Israel ke atas Lubnan atau pendudukan berterusan wilayah yang dirampas akan dianggap sebagai pelanggaran terhadap MoU tersebut.-Agensi