Mydin perkenal Mydin Express

Iklan
Pelanggan boleh mengambil barang yang ditempah melalui Mydin Express dengan kaedah pandu lalu.

PENGENDALI rangkaian peruncitan produk halal tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad mengambil inisiatif memperkenalkan platform beli-belah dalam talian baharu, Mydin Express untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian.

Pengarah Urusannya, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, insiatif itu mula beroperasi semalam di pasar raya Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor dan sembilan cawangan pasar raya lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemudahan itu akan diperluas di rangkaian pasar raya kendaliannya secara berperingkat.

"Platform Mydin Express memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk membeli-belah barangan keperluan sekurang-kurangnya sebanyak RM50 melalui laman web https://mydinexpress.my tanpa mengunjungi pasar raya Mydin yang terdekat.

Iklan

"Selepas pesanan dibuat, mereka akan menerima maklumat pembelian melalui WhatsApp dan e-mel. Mereka hanya perlu buat bayaran dan mengambilnya secara pandu lalu di Mydin berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Ameer berkata, beliau optimis platform Mydin Express akan menjadi pilihan pelanggannya kerana ia mudah dan memberikan keselesaan kepada mereka terutama sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Iklan
Ameer Ali Mydin

"Menariknya, Mydin Express juga memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan juadah berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan nanti,” katanya.

Beliau berkata, Mydin juga turut memperkenalkan pelbagai inisiatif lain terutama kepada pelanggan yang mengunjungi pasar raya itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, antara inisiatif yang disediakan ialah menyediakan cecair basmi kuman untuk membolehkan mereka mencuci tangan terlebih dahulu.

"Malah, mereka juga perlu memeriksa suhu badan dan melalui Mydin Virus Nano Spray Buster sebelum memasuki ruang membeli-belah Mydin.

"Kami juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan jumlah pelanggan yang masuk ke pasar raya dan meletakkan penanda jarak sosial di kaunter pembayaran, menimbang dan pembelian barang basah,” katanya.

Pelanggan diminta berada pada kedudukan satu meter ketika membeli-belah di semua Pasaraya Mydin.

Sementara itu, mengulas mengenai keperluan Ramadan dan hari raya yang terdapat di Mydin, Ameer berkata, pihaknya telah menyediakan stok barangan yang mencukupi berikutan pasar raya itu menjadi pilihan utama setiap kali menjelang puasa dan hari raya.