KOTA BHARU - Pas menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan diadakan antara Oktober hingga November tahun ini berdasarkan perkembangan politik semasa dan pelbagai petunjuk yang semakin jelas.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, parti itu kini mengarahkan seluruh jentera memperkemaskan gerak kerja di semua peringkat bagi menghadapi kemungkinan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat.
Menurut beliau, beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung termasuk di Johor, Negeri Sembilan dan mungkin Melaka dilihat sebagai petanda PRU16 semakin hampir.
"Berkemungkinan selepas PRN Melaka, Parlimen akan dibubarkan kerana banyak tanda-tanda dan desas-desus mengatakan PRU tahun ini, cuma masih berteka-teki dari segi bulan atau tarikhnya," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pengkalan Chepa Kali Ke 54 di sini pada Rabu.
Mesyuarat agung tahunan itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, walaupun terdapat spekulasi pembubaran Parlimen seawal Julai, pandangan lebih kuat ketika ini menjurus kepada penghujung Oktober atau November.
"Ada yang menjangka Julai selepas Perdana Menteri pulang daripada lawatan luar negara, namun pandangan lebih kuat ialah pada penghujung Oktober dan November.
"Bagaimanapun, apa yang penting ialah kita perlu meningkatkan komitmen dan iltizam serta memperkemaskan kedudukan parti bagi menghadapi kemungkinan PRU," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan jentera parti supaya tidak mengamalkan budaya kerja saat akhir kerana landskap politik semasa semakin mencabar, khususnya dalam usaha menarik sokongan pengundi muda.
"Kita tidak boleh menjangka atau membaca fikiran pengundi, terutama golongan muda kerana corak pemikiran mereka berbeza.
"Saya juga mengingatkan jentera supaya tidak memandang rendah kewujudan parti-parti baharu kerana pendekatan yang digunakan mampu menarik perhatian pengundi muda," katanya.