ALOR SETAR –"Saya pesan pergi kerja bawa kereta elok-elok, selepas itu saya lihat kereta dia bergerak pergi sampai tidak nampak. Saya rasa sayang sangat tengok dia. Selepas dia pergi, saya rasa mengantuk sangat.”
Demikian kata Fatimah Ismail, 78, apabila mengenang detik terakhir bersama anaknya, Koperal Norazmi Abu Bakar, yang terkorban dalam insiden letupan ketika latihan di Kem Hobart, Gurun, Selasa lalu.
Menurut Fatimah, Allahyarham pulang ke rumahnya di Kampung Tupah Lama di sini kira-kira jam 11.30 malam Isnin selepas selesai bertugas di Gurun.
Katanya, kepulangan anak ketiga daripada lima beradik itu pada malam berkenaan tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara, namun beberapa perkara yang berlaku masih segar dalam ingatannya.
"Biasanya dia tidak makan banyak. Malam itu saya tengok macam kasihan pula," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah pada petang Selasa.
Menurutnya, selepas makan, Allahyarham keluar ke kedai sebelum pulang dan tidur di ruang tamu rumahnya.
Fatimah berkata, keesokan paginya dia mengejutkan anaknya pada waktu Subuh dan mendapati badan Allahyarham sejuk.
"Saya pegang badan dia, sejuk. Dia kata sejuk sebab buka kipas dan selepas itu dia bangun untuk bersiap-siap. Selepas minum kopi yang dibancuh saya, dia bergerak hendak pergi kerja," ujarnya.
Menurut wanita itu, perasaannya pada pagi itu agak berbeza apabila timbul rasa sayang yang sukar digambarkan terhadap anaknya itu.
"Hari Jumaat baru-baru ini pun dia balik ke sini selepas pulang bertugas dari Sabah. Hari Raya Aidilfiri dan Aidiladha pun tidak balik kerana bertugas.
Fatimah berkata, dia hanya mengetahui mengenai tragedi yang meragut nyawa anaknya itu selepas menerima panggilan daripada menantunya kira-kira jam 12 tengah hari pada Selasa.
Menurutnya, Allahyarham sememangnya meminati bidang ketenteraan sejak muda dan pernah menolak peluang pekerjaan lain demi mengejar cita-cita tersebut.
"Dulu selepas dapat keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dia dapat kerja di hospital tetapi dia lebih minat tentera," katanya lagi.
Allahyarham Koperal Norazmi merupakan antara dua anggota yang terkorban dalam insiden letupan semasa latihan membaling grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart kira-kira jam 10.57 pagi Selasa.
Seorang lagi mangsa yang maut ialah Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja.
Jenazah Allahyarham Koperal Norazmi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Busyra di Merbok kira-kira jam 5.25 pagi Rabu, manakala jenazah Siti Khadijah dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor untuk dikebumikan.
ARTIKEL BERKAITAN: Koperal Norazmi, Prebet Siti Khadijah maut ketika baling grenad
Dua anggota tentera maut terkena bom semasa latihan
Letupan di Kem Hobart: TDM sahkan identiti dua anggota terkorban
Dua tentera maut terkena bom: Polis jalan siasatan menyeluruh termasuk rakam saksi kejadian
Jenazah Koperal Norazmi dikebumi selepas bedah siasat, Prebet Siti Khadijah dibawa pulang ke Johor
Polis rakam keterangan tujuh individu bantu siasatan insiden letupan anggota tentera