JAKARTA – Tular satu klip video pendek di Indonesia memaparkan seorang wanita didukung oleh dua lelaki untuk masuk ke dalam rumah.
Wanita tersebut yang baru sahaja pulang daripada menunaikan ibadah haji didukung agar kedua-dua kakinya tidak menjejak tanah.
Iklan
Iklan
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @syam.al.muhais pada 5 Jun lalu menunjukkan wanita yang mengenakan tudung manik berkilau itu didukung daripada kereta sehingga ke pintu rumahnya.
Difahamkan, mereka berbuat demikian sebagai tanda penghormatan kepada tetamu ALLAH SWT yang pulang dari Tanah Suci, mengikut kepercayaan masyarakat Bugis di wilayah Sulawesi Selatan.
Selain tidak menjejakkan kaki ke tanah, kepercayaan lain yang diterapkan dalam komuniti itu termasuk tidak dibenarkan berjalan jauh atau melakukan aktiviti di luar rumah selama 40 hari kerana dianggap masih suci.
"Tradisi haji kaum Bugis, tidak boleh pijak tanah selama 40 hari," ujar pemilik video berkenaan.
Hantaran tersebut mencatatkan lebih 2.3 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya. – Agensi