MERBOK - Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian jenazah Koperal Norazmi Abu Bakar yang terkorban dalam insiden letupan ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun, apabila jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Busyra di sini, yang selesai sekitar jam 5.25 pagi Rabu.
Upacara pengebumian dilaksanakan mengikut istiadat ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai penghormatan terakhir terhadap jasa dan pengorbanan Allahyarham.
Kira-kira 500 orang termasuk ahli keluarga, kenalan, pegawai dan anggota tentera hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Jenazah anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja itu dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebaik sahaja selesai proses bedah siasat kira-kira jam 2.30 pagi.
Jenazah kemudian dibawa ke rumah keluarga di Kampung Tupah Lama sekitar jam 3.35 pagi dan tiba di Masjid Al-Busyra kira-kira jam 4.20 pagi.
Solat jenazah diimamkan Pegawai Staf Agama Briged Keenam Infantri Malaysia, Mejar Mohd Sobri Che Hassan.
Simbolik Penyerahan Bendera diserahkan Pegawai Memerintah Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Wazir Syafiq Nodin kepada Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Fouzi Sulaiman sebelum ia diserahkan kepada isteri Allahyarham, Siti Fairus Mohamad Yussof, 38.
Allahyarham Norazmi meninggalkan dua anak, Nurliana Danishah, 14, dan Muhammad Rizhan Darwish, 8.
Sementara itu, seorang lagi mangsa terkorban dalam insiden sama, Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor untuk dikebumikan.
Kedua-dua mangsa maut akibat insiden letupan semasa latihan membaling grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart kira-kira jam 10.57 pagi pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Koperal Norazmi, Prebet Siti Khadijah maut ketika baling grenad
Dua anggota tentera maut terkena bom semasa latihan
Letupan di Kem Hobart: TDM sahkan identiti dua anggota terkorban
Dua tentera maut terkena bom: Polis jalan siasatan menyeluruh termasuk rakam saksi kejadian
Jenazah Koperal Norazmi dikebumi selepas bedah siasat, Prebet Siti Khadijah dibawa pulang ke Johor
Polis rakam keterangan tujuh individu bantu siasatan insiden letupan anggota tentera