LIPIS - Seorang lelaki warga China antara dua yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori membawa muatan durian di Kilometer 18 Jalan Lipis-Benta berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Benta di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, nahas yang berlaku kira-kira jam 9.20 malam itu mengorbankan pemandu kereta jenis Perodua Axia, Ng See Jou, 47, dan warga China yang belum dikenal pasti identiti.
Menurutnya, dua lagi lelaki warga China yang berada di kerusi penumpang belakang kereta tersebut dilaporkan parah.
"Siasatan awal mendapati kereta dipandu warga tempatan bersama tiga penumpang itu dipercayai dalam perjalanan dari Kelantan menghala ke Kuala Lumpur manakala lori dipandu lelaki berusia 37 tahun pula dari Raub ke Kelantan menghantar muatan durian.
"Ketika tiba di lokasi, kedua-dua kenderaan terbabit bertembung menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan kereta maut di tempat kejadian," katanya.
Ismail berkata, hasil pemeriksaan polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri bersama warga asing terbabit.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," ujarnya.