Ekonomi berkembang, kenapa ramai hilang kerja?

Iklan
Anis Anwar (gambar kecil) berkata, ekonomi negara sememangnya terus berkembang namun pekerjaan yang diwujudkan hari ini tidak lagi sama seperti pekerjaan yang semakin hilang. Gambar hiasan

KETIKA ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan dan peluang pekerjaan baharu diwujudkan saban tahun, timbul persoalan mengapa masih ramai rakyat kehilangan pekerjaan?

Statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dilaporkan Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini mendedahkan seramai 38,953 individu kehilangan pekerjaan dalam tempoh Januari hingga Mei 2026.

Iklan
Iklan

Paling terkesan ialah pekerja berusia antara 25 hingga 39 tahun, daripada jumlah tersebut, lelaki mencatatkan 23,536 kes atau 60.4 peratus, manakala wanita merekodkan 15,417 kes bersamaan 39.6 peratus.

Sektor yang paling banyak terjejas pula melibatkan pembuatan, borong dan runcit, automotif serta pentadbiran dan perkhidmatan sokongan.

Iklan

Pada masa sama, laporan Employment Statistics, First Quarter 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan permintaan buruh sektor formal swasta terus meningkat kepada 9.23 juta pekerjaan, dengan 194,800 kekosongan jawatan dan 32,700 pekerjaan baharu diwujudkan.

Persoalannya, bagaimana ekonomi masih mencipta pekerjaan sedangkan puluhan ribu pekerja kehilangan sumber pendapatan?

Iklan

Menurut Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi, jawapannya terletak pada perubahan struktur pasaran buruh yang bergerak jauh lebih pantas berbanding keupayaan tenaga kerja untuk menyesuaikan diri.

Jelas beliau, ekonomi negara sememangnya terus berkembang namun pekerjaan yang diwujudkan hari ini tidak lagi sama seperti pekerjaan yang semakin hilang.

“Pekerjaan baharu lebih tertumpu kepada bidang profesional, teknikal dan berkemahiran tinggi, manakala pekerjaan rutin dan separa mahir semakin mengecil.

“Ini menjadikan cabaran utama bukan kekurangan pekerjaan, tetapi ketidakpadanan kemahiran. Jika tidak ditangani, ekonomi boleh terus berkembang tanpa benar-benar meningkatkan keselamatan pekerjaan majoriti pekerja,” katanya kepada Sinar Bisnes.

Tambahnya, sebahagian besar pekerjaan yang hilang berlaku dalam sektor yang sedang menjalani proses penstrukturan semula secara besar-besaran akibat automasi, digitalisasi dan usaha mengurangkan kos operasi.

Fungsi seperti operasi rutin, pentadbiran sokongan, jualan konvensional, pengeluaran tradisional dan kerja-kerja belakang tabir semakin mudah dirasionalisasikan apabila syarikat menukar model perniagaan mereka.

Sebaliknya, pekerjaan yang muncul kini lebih banyak tertumpu dalam sektor perkhidmatan moden, pembuatan bernilai tambah, logistik, pemasaran digital serta pelbagai fungsi teknikal dan profesional yang memerlukan kemahiran khusus.

“Perubahan ini akhirnya mewujudkan fenomena dikenali sebagai labour market mismatch, iaitu keadaan apabila pekerjaan yang hilang tidak sepadan dengan pekerjaan baharu yang diwujudkan,” katanya.

Jelas Anis Anwar lagi, kehilangan pekerjaan dalam sektor pembuatan, borong dan runcit, automotif serta perkhidmatan sokongan bukan berlaku secara kebetulan. Sebaliknya sektor-sektor tersebut sedang melalui transformasi struktur yang mendalam.

Dalam sektor pembuatan misalnya, penggunaan automasi dan teknologi pintar semakin meluas bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi. Keadaan ini secara langsung mengurangkan kebergantungan syarikat kepada tenaga kerja operasi dan sokongan.

Sektor borong dan runcit pula sedang mengalami perubahan besar susulan ledakan e-dagang yang mengubah keseluruhan rantaian jualan.

“Daripada operasi cawangan fizikal, banyak syarikat kini beralih kepada sistem berpusat dan digital yang memerlukan bilangan pekerja lebih kecil tetapi mempunyai kemahiran lebih tinggi.

“Bagi sektor automotif pula, peralihan kepada elektrifikasi, digitalisasi rantaian bekalan dan perubahan corak permintaan pengguna memaksa syarikat menyusun semula organisasi mereka,” katanya.

Pada masa sama, sektor pentadbiran dan perkhidmatan sokongan menjadi antara yang paling terdedah kepada automasi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta penyumberan luar.

Menurut beliau, semua perubahan tersebut mempunyai satu persamaan iaitu peningkatan produktiviti berlaku lebih pantas berbanding keupayaan tenaga kerja untuk berubah dan menyesuaikan diri.

Ujarnya, walaupun ekonomi masih berkembang dan pekerjaan baharu terus diwujudkan, persoalan lain yang timbul ialah sama ada manfaat pertumbuhan benar-benar dirasai pekerja biasa.

Data Gross Domestic Product Income Approach 2024 oleh DOSM menunjukkan pampasan pekerja (Compensation of Employees) hanya menyumbang 33.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.

Sebaliknya, lebihan operasi kasar (Gross Operating Surplus) menyumbang sebanyak 63.7 peratus.

“Ini menunjukkan manfaat pertumbuhan ekonomi lebih cepat dinikmati oleh pemilik modal, syarikat besar dan pekerja berkemahiran tinggi berbanding pekerja operasi, sokongan serta separa mahir,” katanya.

Gambaran tersebut turut diperkuatkan menerusi Household Income and Expenditure Survey 2024 yang menunjukkan jurang pendapatan masih ketara.

Golongan T20 menguasai 45.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan isi rumah negara, manakala kumpulan B40 hanya menerima 16.7 peratus.

Hakikat ini menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak semestinya diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan yang dinikmati secara sama rata oleh semua lapisan masyarakat.

“Ekonomi boleh berkembang dan angka KDNK boleh meningkat, namun manfaatnya mungkin lebih banyak tertumpu kepada kelompok tertentu berbanding mengalir secara menyeluruh kepada pekerja biasa,” katanya.

Mengulas kelemahan paling ketara dalam pasaran buruh negara ketika ini, Anis Anwar berpandangan institusi dan dasar pasaran kerja masih bergerak lebih perlahan berbanding perubahan ekonomi yang berlaku.

Katanya, sistem latihan semula tenaga kerja masih bersifat reaktif kerana kebanyakan latihan hanya diberikan selepas seseorang kehilangan pekerjaan bukannya sebelum risiko kehilangan kerja berlaku.

“Selain itu, proses padanan pekerjaan juga masih belum cukup pantas.

“Walaupun hampir 194,800 kekosongan jawatan tersedia dalam pasaran, ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan sukar memasuki sektor baharu kerana perbezaan kemahiran, pengalaman dan lokasi pekerjaan,”katanya.

Beliau turut berpendapat, fokus dasar ketika ini masih terlalu tertumpu kepada penciptaan pekerjaan semata-mata, sedangkan aspek kualiti pekerjaan seperti kestabilan, mobiliti kerjaya dan latihan sepanjang hayat perlu diberikan perhatian yang sama.

Selain itu, struktur ekonomi negara masih mempunyai kebergantungan terhadap sektor berintensifkan buruh rendah yang lebih mudah terdedah kepada kesan automasi dan kemajuan teknologi.

Menurutnya, ukuran kejayaan ekonomi pada masa hadapan perlu diukur berdasarkan sejauh mana pertumbuhan tersebut mampu diterjemahkan kepada gaji yang lebih baik, pekerjaan yang lebih stabil dan peluang mobiliti sosial yang lebih adil untuk rakyat.

Malaysia memerlukan pendekatan baharu, daripada sekadar mencipta pekerjaan kepada mengurus peralihan pekerjaan.

“Ini termasuk sistem latihan semula yang lebih proaktif, padanan kerja yang lebih efisien, perlindungan sosial yang lebih kukuh serta strategi pembangunan kemahiran sepanjang hayat.

“Cabaran sebenar bukan lagi soal mencipta lebih banyak pekerjaan, tetapi memastikan tenaga kerja mampu bergerak seiring dengan perubahan ekonomi yang semakin pantas, jika tidak negara berisiko menyaksikan pertumbuhan ekonomi terus meningkat, tetapi semakin ramai pekerja tertinggal di belakang,” katanya.