IPOH - Bekas Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak atas sumbangannya dalam pembangunan ummah serta memartabatkan syiar Islam.
Penganugerahan itu disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H peringkat negeri yang bertemakan 'Cetusan Hijrah Inspirasi Perubahan – Aspirasi Pembaharuan' di sini pada Selasa.
Wan Zahidi, 84, dilantik sebagai Mufti Perak dari 1 Ogos 2022 sehingga 31 Disember 2025 juga pernah menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Ijazah Sarjana (MA) Usul Fiqh dari Universiti Al Azhar, Mesir, mantan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia itu turut menghasilkan beberapa penulisan ilmiah antaranya Malaysia adalah sebuah negara Islam dan Pelaksanaan Siasah Syariat Dalam Pendidikan Pentadbiran Kerajaan.
Sementara itu, Anugerah Saidina Abu Bakar (Tokoh Ar-Ridzuan) dianugerahkan kepada Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Aktivis kemanusiaan berusia 68 tahun itu dipilih atas sumbangan serta penglibatannya yang aktif dalam memperjuangkan isu sejagat termasuk Palestin.
Kedua-dua tokoh berkenaan menerima wang tunai RM15,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000, plak serta sijil yang disampaikan oleh Sultan Nazrin.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini; serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Dalam majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Siti Khadijah (Tokoh Wanita) kepada pakar pergigian, Dr Farah Syazwani Mohamad Tarmizi, 43.
Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia) pula diberikan kepada Mohamad Adib Mohamad Mazri, 30, manakala Anugerah Ikon Asnaf disampaikan kepada Khairruddin Mazli, 35.
Turut menerima pengiktirafan ialah Masjid At-Taufiqiah Khairiah, Pokok Assam, Taiping sebagai penerima Anugerah Al-Quba’ (Pengurusan Masjid Terbaik) serta Pengurusan Tanah Perkuburan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Bagan Serai yang dipilih menerima Anugerah Al-Baqi’ (Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik).
Semua penerima anugerah tersebut menerima wang tunai RM5,000, plak serta sijil.
Anugerah Khas Maal Hijrah tahun ini disampaikan kepada Osman Hamzah, 25, dari Kampung Santeh, RPS Legap, Sungai Siput.
Penuntut Ijazah dalam bidang al-Quran dan Sunnah di Universiti Sultan Idris Shah (USAS) itu merupakan pelajar Orang Asli pertama berjaya menghafaz al-Quran sebanyak 30 juzuk.