Padah tampar anggota polis, warga emas dipenjara sebulan

Iklan
Majistret Amal Razim Alias menjatuhkan hukuman itu ke atas Mat Saair Setapa, 66, dan memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda RM1,000. Foto hiasan

KUALA KRAI -  Seorang warga emas dipenjara sebulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang penjawat awam minggu lepas.

Majistret Amal Razim Alias menjatuhkan hukuman itu ke atas Mat Saair Setapa, 66, dan memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda RM1,000.

Iklan
Iklan

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang lelaki berusia 29 tahun dengan cara menampar pipi sebelah kanan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sungai Rek di sini kira-kira 6.30 petang pada 12 Jun lepas.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Menurut fakta kes, tertuduh ditahan selepas menolak anggota polis berpangkat Lans Koperal dari bahagian belakang serta menampar pipi kanannya selepas diminta menunjukkan kad pengenalan diri pada Jumaat lepas. - Bernama