KOTA BHARU – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil telah memberikan nasihat kepada Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohd Hisyamuddin Ghazali berhubung pendekatan komunikasinya yang dilihat lantang di media sosial sejak dilantik ke jawatan itu minggu lalu.
Menurut beliau, nasihat tersebut diberikan bagi mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh membuka ruang kepada pihak tertentu untuk memanipulasi maklumat dan mencetuskan polemik.
Katanya, Mohd Hisyamuddin yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz juga perlu memastikan mesej yang disampaikan dapat difahami rakyat dengan jelas serta tidak menimbulkan salah tafsir.
"Ini baru minggu pertama dan kita akan meneliti mutu perkhidmatan beliau. Pada waktu ini, beliau ada menerima nasihat dan saya sendiri telah menasihatinya.
"Jangan sehingga wujud ruang yang boleh dimanipulasi oleh pihak yang memusuhi atau sengaja mencari isu mengenai perkara tertentu," katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Negeri Kelantan di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu, beliau melihat kepantasan Mohd Hisyamuddin dalam mengetengahkan dan menangani sesuatu isu sebagai satu kelebihan yang membawa nafas baharu kepada J-Kom.
"Saya melihat kepantasan beliau dalam mengetengahkan isu serta menangani sesuatu perkara sebagai satu perkara yang sangat segar.
"Tenaga dan dinamisme yang ditunjukkan beliau juga sangat baik, namun perlu disertai dengan sikap berhati-hati supaya rakyat benar-benar memahami visi dan usaha kerajaan," katanya.
Sebelum ini, Mohd Hisyamuddin menjadi perhatian apabila beberapa kenyataan dan hantaran beliau di media sosial mengundang pelbagai reaksi netizen susulan pelantikannya sebagai Ketua Pengarah J-Kom.
Sebahagian pengguna media sosial berpendapat beliau perlu lebih berhati-hati dalam menyampaikan pandangan memandangkan kini memegang jawatan penting dalam kerajaan.