KULAI - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan kerjasama antara Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Johor akan terus diperkukuhkan.
Jelas beliau, ini kerana kebajikan dan kepentingan rakyat perlu menjadi keutamaan.
“Isu politik boleh diselesaikan melalui saluran politik, tetapi perkara yang melibatkan kerja, perkhidmatan dan tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri akan diteruskan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kerata Api Kulai, di sini pada Selasa.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau secara berjenakan berkata, ramai petugas media hadir majlis itu menjangkakan ‘drama’ berikutan mereka berdua saling berbalas komen sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pemimpin kerajaan mesti cukup matang memisahkan politik dengan pentadbiran, sambil menambah kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan diteruskan demi kepentingan pembangunan Johor.
Sebelum itu, Anthony Loke dan Onn Hafiz saling berbalas kritikan di media sosial masing-masing dipercayai bermula apabila Onn Hafiz mengeluarkan kenyataan Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Negeri Johor berkata, beliau lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri.