Lubuk rezeki, Pasar Pagi Sungai Bayor hidupkan ekonomi rakyat

Iklan
Pasar Pagi Sungai Bayor di Selama, Perak terus menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negeri, sekali gus menggerakkan ekonomi setempat.

LARUT -"Berbaloi… walaupun tiga jam perjalanan."

Itu perkongsian peniaga buah dari Kedah, Firdaus Ismail, menggambarkan bagaimana Pasar Pagi Sungai Bayor dekat Selama di sini menjadi lubuk rezeki ratusan peniaga termasuk dari luar Perak.

Iklan
Iklan

Diiktiraf sebagai pasar pagi terpanjang di Malaysia oleh Malaysia Book of Records, pasar sepanjang kira-kira 2.32 kilometer menempatkan hampir 500 peniaga itu muncul sebagai nadi ekonomi rakyat yang menghubungkan peniaga kecil dengan ribuan pengunjung.

FIRDAUS

Iklan

Firdaus, 40, dari Baling berkata, sepanjang 12 tahun berniaga, perubahan ketara berlaku selepas kawasan itu dinaik taraf apabila kehadiran pengunjung semakin meningkat termasuk dari luar negeri.

“Dulu bawa buah dengan van sahaja, sekarang terpaksa naik lori. Bawa buah penuh pun boleh habis jual di sini,” katanya yang sanggup berulang-alik sejauh tiga jam setiap minggu.

Iklan

Bagi peniaga kasut dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang, Azizah Ayob, 54, walaupun berdepan kenaikan kos barangan, kehadiran pengunjung terutama yang ramai memberi peluang menjana pendapatan.

AZIZAH

Menurutnya, rutin seawal jam 4.30 pagi berbaloi apabila jualan meningkat terutama ketika musim cuti dan penganjuran program di kawasan itu.

Peniaga muda, Nazril Salleh, 34, pula melihat pasar tersebut sebagai peluang menjana pendapatan jika rajin berusaha, apabila jualan kacang rebusnya mampu habis setiap minggu.

NAZRIL

Katanya, sekitar 10 hingga 15 kilogram kacang yang dibawa sering terjual terutama pada hari cuti umum, sekali gus memberi pulangan yang memuaskan.

“Kalau rajin, memang ada peluang cari rezeki di sini,” katanya.

Bagi Azilah Abdul Rahim, 38, yang menjual air balang sejak lima tahun lalu, peningkatan jumlah pengunjung selepas naik taraf pasar turut melonjakkan jualan minuman.

AZILAH

Katanya, beberapa jenis minuman seperti teh hijau, cappuccino dan coklat antara yang cepat habis setiap kali berniaga.

Sementara itu, peniaga tempatan, Hasmah Mohamad, 58, yang telah dua dekad menjual hasil tani berkata, pasar berkenaan membantu memasarkan hasil kampung seperti pucuk paku, pegaga dan jantung pisang.

Menurutnya, bekalan yang dibawa sehingga memenuhi sebuah kenderaan pacuan empat roda lazimnya habis dijual setiap minggu.

Dengan kehadiran pengunjung mencecah 5,000 orang, Pasar Pagi Sungai Bayor terus berperanan sebagai ekosistem ekonomi rakyat yang menghubungkan pengeluar, peniaga dan pengguna.

Perkembangan itu membuktikan pasar tradisional masih relevan sebagai platform menjana pendapatan selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk menyokong kesejahteraan komuniti setempat.