KEBELAKANGAN ini, pelbagai spekulasi timbul mengenai masa depan Perikatan Nasional (PN) susulan pemutusan hubungan antara Pas dan Bersatu.
Walaupun banyak pandangan yang pesimis, namun jika dilihat dari sudut yang lebih strategik, apa yang sedang berlaku sebenarnya bukanlah krisis yang akan melemahkan PN.
Ia sebaliknya boleh ditanggapi sebagai satu proses penstrukturan semula yang berpotensi menjadikan gabungan itu lebih tersusun, lebih stabil dan lebih bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, PRN Negeri Sembilan dan seterusnya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Hakikatnya, Pas kini merupakan parti paling dominan dalam PN. Pas bukan sahaja mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam gabungan, malah menguasai beberapa kerajaan negeri, mempunyai jentera akar umbi yang paling tersusun dan memiliki keupayaan mobilisasi pengundi yang terbukti berkesan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
Oleh sebab itu, adalah logik dan munasabah jika Pas terus menerajui PN dengan sokongan Gerakan, MIPP, Parti Wawasan Negara serta mana-mana parti baharu yang berkongsi matlamat politik yang sama.
Dalam politik gabungan, parti yang mempunyai kekuatan organisasi, kestabilan kepimpinan dan kapasiti mobilisasi terbesar lazimnya menjadi tunjang kepada sesebuah gabungan.
Keadaan ini berlaku dalam banyak gabungan politik di seluruh dunia. Justeru, kepimpinan Pas dalam PN adalah cerminan kepada realiti semasa kekuatan politik dalam blok pembangkang.
Pada masa yang sama, Bersatu juga perlu melakukan muhasabah terhadap kedudukan semasanya. Jika dibandingkan dengan keadaan ketika mencapai kemuncak pengaruh selepas PRU14 dan semasa PRU15, kekuatan Bersatu hari ini jauh lebih terbatas.
Parti itu telah melalui pelbagai episod pergolakan dalaman, pemecatan pemimpin kanan, perpecahan organisasi dan kehilangan sejumlah besar ahli Parlimennya.
Akibat perkembangan tersebut, pengaruh Bersatu dalam blok pembangkang semakin mengecil berbanding Pas yang terus menunjukkan kestabilan organisasi dan kekuatan akar umbi.
Dari sudut persepsi awam pula, sebahagian besar pengundi melihat Bersatu sebagai sebuah parti yang masih bergelut dengan isu kepimpinan, hala tuju dan kestabilan dalaman. Keadaan ini menyebabkan kemampuan parti tersebut untuk menjadi teras utama gabungan pembangkang semakin dipersoalkan.
Dalam politik gabungan, kekuatan sesebuah parti tidak hanya diukur melalui sejarah atau kedudukan lampau, tetapi juga melalui keupayaannya menyumbang nilai tambah kepada gabungan pada masa kini.
Jika sesebuah parti tidak lagi mendapat sokongan majoriti rakan-rakan komponennya atau gagal meyakinkan pengundi bahawa ia masih mempunyai pengaruh yang signifikan, maka adalah wajar untuk parti tersebut menilai semula kedudukannya dalam gabungan dan memberi ruang kepada parti yang lebih berupaya memimpin.
Dalam konteks inilah kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bahawa Pas akan terus berusaha memastikan PN kekal dipimpin oleh Pas perlu dilihat sebagai satu kenyataan strategik yang bertujuan memberikan kestabilan kepada gabungan.
Satu lagi perkembangan penting ialah kesediaan Pas untuk menerima penyertaan Parti Wawasan Negara yang diasaskan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin. Kemasukan parti baharu ini tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman kepada PN.
Sebaliknya, ia boleh memperluaskan lagi jaringan sokongan pembangkang, khususnya dalam kalangan pengundi atas pagar, bekas penyokong Bersat dan kumpulan profesional yang masih mencari wadah politik yang sesuai.
Pada masa yang sama, Gerakan dan MIPP perlu terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan imej PN sebagai gabungan yang bersifat pelbagai kaum. Walaupun Pas menjadi parti dominan, kehadiran Gerakan dan MIPP membuktikan bahawa PN masih mempunyai ruang untuk menarik sokongan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.
Jika Parti Wawasan Negara turut diterima menyertai PN, gabungan tersebut akan memperoleh tambahan kekuatan dari sudut kepimpinan nasional, pengalaman pentadbiran dan rangkaian penyokong yang selama ini bersama Hamzah. Ini akan membantu memperluaskan asas sokongan PN menjelang pilihan raya akan datang.
Oleh sebab itu, usaha membawa masuk Parti Wawasan Negara dan parti-parti lain tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada struktur PN. Sebaliknya, ia boleh menjadi langkah strategik untuk memperkukuhkan blok pembangkang menjelang pilihan raya akan datang.
Perkara yang sama juga boleh dilihat dalam isu lantikan kembali Hamzah sebagai Ketua Pembangkang. Sesetengah pihak cuba menggambarkan pengumuman Abdul Hadi sebagai bukti bahawa proses tadbir urus PN diketepikan.
Tafsiran sedemikian adalah terlalu terburu-buru. Apa yang diumumkan oleh Presiden Pas boleh difahami sebagai satu cadangan politik yang lahir daripada musyawarah dan perbincangan awal dalam kalangan pemimpin Pas serta Ahli Parlimen pembangkang. Ia bukan keputusan muktamad yang memintas semua saluran organisasi PN.
Sebaliknya, cadangan tersebut masih boleh dibawa untuk diperhalusi dan diputuskan melalui mekanisme rasmi gabungan. Dalam mana-mana organisasi politik, adalah perkara biasa bagi pemimpin utama mengemukakan pandangan atau cadangan sebelum ia dimuktamadkan dalam mesyuarat yang berkenaan.
Cadangan pengekalan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang juga mempunyai asas yang kukuh berdasarkan pengalaman, prestasi dan penerimaan beliau dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.
Pada ketika ini, agenda yang jauh lebih penting ialah persediaan menghadapi PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan. Kedua-dua negeri ini akan menjadi medan ujian penting untuk menilai kekuatan sebenar PN selepas penstrukturan semula gabungan.
Di Johor, PN perlu memberi tumpuan kepada pengundi Melayu bandar dan separa bandar yang semakin terkesan dengan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan perumahan. Di Negeri Sembilan pula, PN perlu memperkukuhkan sokongan dalam kawasan majoriti Melayu sambil meningkatkan penerimaan dalam kalangan pengundi muda dan pengundi atas pagar.
Untuk mencapai matlamat tersebut, PN memerlukan kepimpinan yang stabil, struktur organisasi yang jelas dan gabungan parti yang mampu bekerjasama secara berkesan. Pas mempunyai rekod dan kapasiti untuk memainkan peranan tersebut.
Akhirnya, kekuatan sesebuah gabungan bergantung kepada keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan politik, memperluaskan sokongan rakyat dan menampilkan kepimpinan yang diyakini. Dalam konteks semasa, Pas mempunyai kelebihan untuk memainkan peranan tersebut.
Dengan sokongan Gerakan, MIPP, Parti Wawasan Negara dan mana-mana parti baharu yang ingin menyertai perjuangan pembangkang, PN berpeluang muncul sebagai gabungan yang lebih kukuh, lebih tersusun dan lebih bersedia menghadapi PRN Johor, PRN Negeri Sembilan serta cabaran politik menjelang PRU16.
* Penulis ialah Felo The Future Research dan penganalisis politik.