Petronas bakal teroka telaga gas kedua terbesar dunia

Iklan
Datuk Fahmi Fadzil

KOTA BHARU - Malaysia bakal mencatat satu lagi kejayaan penting di pentas ekonomi antarabangsa apabila Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dijadual menandatangani perjanjian bagi mengusahakan telaga gas kedua terbesar di dunia di Turkmenistan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perjanjian itu akan dimeterai sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara Asia Tengah tersebut selepas menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Rusia di Kazan, Rusia atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Perdana Menteri kini berada di Kazan bagi menghadiri 'ASEAN-Russia Commemorative Summit' sebelum meneruskan perjalanan ke Turkmenistan.

"Di Turkmenistan, insya_ALLAH, Perdana Menteri bersama dengan pasukan Petronas akan menandatangani satu perjanjian untuk Petronas dan rakan usaha di Turkmenistan mengusahakan telaga gas kedua terbesar di dunia, insya_ALLaH," katanya ketika hadir pada Program Jiwa Madani dan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Komuniti Madani Negeri Kelantan di sini pada Selasa.

Iklan

Fahmi memberitahu, kerjasama strategik itu dijangka membawa limpahan ekonomi yang sangat baik kepada negara selain mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai rakan kerjasama yang dipercayai di peringkat global.

Katanya, peluang untuk terlibat dalam projek tenaga berskala besar itu membuktikan Malaysia terus mendapat pengiktirafan dunia serta menjadi rakan pilihan dalam pelbagai usaha pembangunan ekonomi antarabangsa.

Iklan

"Dengan itu akan ada limpahan ekonomi yang sangat baik untuk negara kita.

"Ini hanya boleh berlaku bila Ringgit kukuh, barang cukup, kita dihormati peringkat dunia, kita menjadi rakan yang dicari untuk berkongsi projek-projek yang besar seperti itu, bukan untuk Perdana Menteri sendiri, tapi untuk kita," katanya.