[LAPORAN KHAS] Ramadan tanpa bazar, Aidilfitri tanpa bersalaman

Iklan
Mohammad Shatar

SHAH ALAM - Pandemik Covid-19 yang pertama kali menyerang negara dan juga dunia menjejaskan banyak aspek kehidupan namun masyarakat perlu menyesuaikan diri dengan situasi semasa terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakar Sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, tidak terkecuali pada bulan Ramadan dan seterusnya Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi, pasti terasa sedikit berbeza disebabkan kekangan PKP.

Iklan
Iklan

"Perbezaan pasti terasa namun kita harus memandang perkara ini dari sudut positif dan pada masa sama mematuhi arahan kerajaan demi kebaikan bersama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Menurut Mohammad Shatar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), meskipun tempoh PKP berakhir mengikut jadual, namun saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang tidak menggalakkan sebarang perhimpunan dalam tempoh enam bulan hingga setahun sekiranya PKP ditamatkan tidak wajar dipandang sepi.

Iklan

"Jika sebelum ini setiap kali Ramadan tiba ramai bertumpu ke bazar bagi membeli pelbagai juadah untuk berbuka puasa, namun tahun ini mungkin semuanya dilakukan menerusi dalam talian. Bagi mereka yang menantikan kemunculan bazar Ramadan pasti akan terasa perbezaan apabila tidak dapat berbuat demikian pada tahun ini.

"Kemeriahan dan perasaan ketika berkunjung ke bazar itu sendiri pastinya berbeza dengan membeli dalam talian, bak kata pepatah sama tapi tidak serupa namun bazar Ramadan dalam talian mungkin opsyen terbaik pada ketika ini.

Iklan

"Langkah ini lebih memudahkan bagi yang sudah biasa melakukan transaksi dalam talian terutama Gen-Y misalnya yang sememangnya banyak melakukan pembelian dalam talian dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, lebaran kali ini juga pasti berbeza kerana berkemungkinan besar kita tidak dapat melakukan amalan tradisi biasa seperti bersalaman, cium tangan, berpelukan dan rumah terbuka.

Namun, Mohammad Shatar percaya, dengan rata-rata rakyat Malaysia ramai yang sangat kreatif, situasi berbeza tersebut akan memberikan suasana yang tetap ceria.

"Amalan bersentuhan, bersalaman mungkin terpaksa dilupakan dulu semasa raya nanti. Tapi ramai rakyat Malaysia yang kreatif dan berinovasi.

"Saya percaya hari raya nanti pasti banyak situasi kelakar dan lucu yang akan dikongsi orang ramai terutamanya di media sosial masing-masing,” katanya.