KPT kaji kemungkinan libatkan IPTS dalam PLKN - Zambry

Iklan
Zambry (tengah) melihat Buku Nahas Gerik: UPSI Berduka bersama sebahagian mangsa yang terselamat dalam tragedi kemalangan bas pelajar UPSI di Gerik pada 9 Jun tahun lepas, pada pelancaran buku itu di Bilik Diraja Dewan Tuanku Canselor UPSI. Foto: Bernama

TANJONG MALIM - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengkaji kemungkinan melibatkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada masa depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada perbincangan bersama Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mej Jen Datuk Marzuki Mokhtar.

Iklan
Iklan

"Beliau yang akan mengaturkan dari segi urutannya (sama ada bersekali dengan IPT awam (IPTA) atau tidak). Selepas IPTA, mungkin selepas ini IPTS.

"IPTS melibatkan IPTS negeri sebab di setiap negeri ada universitinya. Ada juga universiti GLC seperti UTeM (Universiti Teknikal Malaysia Melaka), MMU (Multimedia University) dan sebagainya, itu kita akan berikan perhatian," katanya selepas Majlis Peluncuran Buku Nahas Gerik: UPSI Berduka di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu, beliau merasmikan Program Rintis Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Peringkat Universiti Awam yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan Datin Roszanina Wahab, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi KPT Datuk Prof Dr Azlinda Azman Marzuki serta Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Berkenaan UPSI menjadi universiti pertama melaksanakan PLKN 3.0, Zambry berkata program itu menerima sambutan baik apabila melibatkan 1,005 pelajar baharu program diploma di UPSI ambilan Jun 2026 terdiri daripada 567 pelatih lelaki dan 438 pelatih perempuan yang telah terpilih.

Iklan

"Jadi di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi kita memberi komitmen penuh untuk memastikan supaya PLKN 3.0 ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

"Dan selepas itu kita juga akan melaksanakan di peringkat politeknik dan kolej komuniti, tetapi untuk tumpuan di peringkat ini kita berikan kepada IPTA terlebih dahulu," katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan pelaksanaan program itu susulan peruntukan RM250 juta melalui Belanjawan 2026 bagi program rintis pada peringkat pendidikan tinggi sebelum diperluaskan ke semua IPTA pada 2027.

Sementara itu berkenaan peluncuran buku hari ini, beliau berkata penerbitan buku tersebut merupakan inisiatif bagi mendokumentasikan peristiwa yang memberi kesan mendalam kepada seluruh warga UPSI dan masyarakat, di samping menjadi wadah penghormatan kepada mangsa serta keluarga terlibat dalam tragedi kemalangan bas pelajar UPSI di Gerik pada 9 Jun 2025.

Dalam kejadian itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjong Malim terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza. - Bernama