Selepas enam bulan, penghakiman Kes 1MDB penuh sabitan Najib diperoleh hari ini

Iklan
Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Selepas hampir enam bulan Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah atas empat kes rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.3 bilion, keputusan penuh secara rasmi kes berkenaan dimuat naik dalam sistem kehakiman pada Selasa.

Penghakiman setebal 809 muka surat itu menyaksikan huraian panjang lebar Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar kes berkenaan.

Iklan
Iklan

Prosiding di peringkat pendakwaan berlangsung selama 235 hari dengan seramai 50 saksi dipanggil memberi keterangan dengan hari terakhir pada 30 Mei 2024 lalu.

Sementara prosiding pembelaan bekas pemimpin UMNO berusia 73 tahun itu mengambil masa selama 58 hari, berakhir pada 6 Mei 2025, membabitkan 26 saksinya.

Iklan

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu telah mengambil masa selama 303 hari termasuk 10 hari penghujahan di akhir kes pembelaan bermula 21 Oktober lalu.

Pada 25 Disember 2025, Collin yang bersidang di Istana Kehakiman di Putrajaya, menjatuhi hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib, dan memerintahkannya membayar denda sebanyak RM11.38 bilion.

Iklan

Beliau berkata, setiap kes menggunakan kedudukan untuk rasuah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun sementara lima tahun bagi setiap kes AMLA.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan hukuman pemenjaraan berjalan serentak, selepas Najib selesai menjalani hukuman di Penjara Kajang, bagi kes SRC International Sdn Bhd, 22 Ogos 2028 depan.

Katanya, ia disebabkan pertuduhan kes 1MDB dan kes SRC bukan melibatkan transaksi yang sama dan merupakan kes berasingan.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan jumlah wang yang sama antara 2011 hingga 2014 lalu.

Kesalahan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon Kuala Lumpur, di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.