KULAI -Kerajaan Persekutuan digesa menyegerakan pelaksanaan projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) sebagai penyelesaian utama menyuraikan trafik di Johor Bahru apabila RTS Link dijangka mula beroperasi pada awal tahun depan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, langkah-langkah jangka pendek dan sederhana yang sedang dilaksanakan ketika ini, termasuk melaksanakan pengurusan trafik pintar serta menyusun semula pergerakan bas, teksi dan e-hailing di JB Sentral, hanya merupakan penyelesaian sementara.
“Langkah-langkah jangka pendek dan sederhana ini terpaksa kita laksanakan kerana projek utama yang mampu menyuraikan trafik RTS masih belum dimulakan.
“Jadi Yang Berhormat Menteri, ada satu projek yang masih perlu kita berikan tumpuan dan segerakan, iaitu projek E-ART,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai di sini pada Selasa.
Onn Hafiz berkata, projek E-ART itu sudah pun dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada tahun 2024. Bagaimanapun, sehingga kini kerja-kerja fizikal bagi projek berkenaan masih belum dimulakan.
Menurut beliau, rakyat Johor masih menantikan garis masa pelaksanaan yang lebih jelas, khususnya mengenai tarikh projek berkenaan akan dimulakan.
“Persoalannya sekarang, bila projek ini akan dimulakan? Orang Johor tertanya-tanya, bilakah kita boleh melakukan lawatan tapak bersama-sama bagi projek ini?
“Setakat yang saya faham, Letter of Award masih belum dikeluarkan. Sedangkan selepas kerja dimulakan sekalipun, projek ini dijangka mengambil masa antara empat hingga lima tahun untuk disiapkan,” katanya.
Beliau berkata, keperluan untuk mempercepatkan projek berkenaan semakin mendesak memandangkan RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar dengan Woodlands North dijadualkan mula beroperasi pada awal 2027.
"Tanpa sistem pengangkutan awam bandar yang cekap dan berkapasiti tinggi, peningkatan pergerakan penumpang daripada RTS Link dikhuatiri akan menambah tekanan terhadap rangkaian jalan raya di pusat bandar Johor Bahru.
Onn Hafiz turut membuat perbandingan dengan projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang yang mempunyai siling bajet RM16.8 bilion, dengan kerja fizikal telah dimulakan dan projek itu disasarkan siap pada penghujung 2031.
“Kita tumpang gembira kerana setiap negeri berhak menikmati kemudahan pengangkutan awam yang baik. Namun, kita juga berharap keperluan Johor diberikan perhatian dan keutamaan yang sama.
“Daerah Johor Bahru sahaja mempunyai kira-kira 1.8 juta penduduk, hampir menyamai keseluruhan penduduk Pulau Pinang. Johor Bahru juga merupakan pintu masuk antarabangsa utama negara dengan kadar pergerakan rentas sempadan yang sangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata, projek E-ART bukan semata-mata sebuah projek pembangunan, sebaliknya merupakan intervensi penting kerajaan Persekutuan yang akan memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu akan membantu mengurangkan kesesakan, meningkatkan kesalinghubungan antara RTS Link dengan kawasan-kawasan utama di Johor Bahru serta menggalakkan lebih ramai penduduk menggunakan pengangkutan awam.
“Saya percaya kesungguhan dan kecepatan Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek ini akan memberikan impak yang sangat besar kepada rakyat Johor, khususnya dalam mengurangkan kesesakan dan memperbaiki mobiliti harian.
“Inilah bentuk intervensi Persekutuan yang benar-benar boleh dirasai, dihargai dan diingati oleh rakyat.
“Yang Berhormat Menteri, kalau projek ini dapat disegerakan, kreditnya besar kepada kerajaan Persekutuan. The credit is all yours," katanya.