Kemudahan bertaraf dunia, Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah jadi hab rujukan serantau

Iklan
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (kiri) ketika baginda melawat ruang pameran selepas merasmikan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Meru Raya hari ini. -Foto Bernama.

IPOH – Pusat Rehabilitasi Perkeso, Sultan Nazrin Shah di Bandar Meru Raya di sini bakal menjadi pemangkin utama dalam memperkasa landskap perubatan rehabilitasi negara serta hab rujukan di peringkat serantau dan global.

Fasiliti terbesar di Asia Tenggara itu menggabungkan teknologi neuro-robotik dan sibernik terkini dengan pendekatan rawatan komprehensif bagi membantu pesakit kembali pulih serta kekal produktif.

Iklan
Iklan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pusat berkenaan bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan rehabilitasi, malah memainkan peranan penting dalam memperkukuh Program Return To Work (RTW) PERKESO.

Menurutnya, antara kemudahan utama yang disediakan termasuk teknologi Cyberdyne Hybrid Assistive Limb, platform rehabilitasi biomekanik lanjutan serta makmal analisis pergerakan berteknologi tinggi.

Iklan

“Pusat ini dilengkapi 65 unit peralatan Cyberdyne merangkumi Lower Limb, Single Joint dan Lumbar, menjadikannya fasiliti dengan bilangan unit Hybrid Assistive Limb terbanyak di dunia.

“Selain itu, sebanyak 151 jenis perkhidmatan rehabilitasi komprehensif ditawarkan termasuk rehabilitasi pediatrik, geriatrik, rehabilitasi vokasional dan program Advanced Return To Work,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini pada Selasa.

Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah dibangunkan di atas tanah seluas lebih 15 hektar daripada keseluruhan kawasan 37 hektar dengan kos pembangunan dianggarkan mencecah RM1 bilion dan siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

Reka bentuk pusat ini mendapat limpah perkenan Tuanku sendiri dengan menggabungkan keindahan elemen warisan Perak menerusi seni kraf Tekat Timbul Benang Emas bersama seni bina futuristik berteknologi tinggi, sekali gus melayakkannya menerima pensijilan Platinum GreenRE, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam penarafan bangunan hijau di bawah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, kewujudan pusat tersebut amat signifikan selaras dengan peluasan perlindungan sosial negara termasuk pelaksanaan LINDUNG 24 Jam dan Akta Pekerja Gig 2025.

Katanya, perkembangan itu dijangka meningkatkan kadar tuntutan sehingga 200 peratus berbanding kira-kira 170,000 kes setahun sebelum ini.

“Peningkatan ini menuntut kapasiti perkhidmatan rehabilitasi yang lebih canggih dan bersepadu bagi memastikan pencarum menerima sokongan menyeluruh untuk kembali bekerja tanpa mengira sektor pekerjaan,” katanya.

Menurut beliau, sejak mula beroperasi secara berperingkat pada Julai 2025, seramai 1,095 pesakit telah menerima rawatan melibatkan kes kecederaan muskuloskeletal, saraf tunjang serta penyakit tidak berjangkit seperti strok.

Tambahnya, dengan kapasiti sehingga 700 pesakit pada satu-satu masa, pusat itu mampu menampung kira-kira 3,000 pesakit setiap tahun.

Beliau berkata, pembangunan fasiliti berkenaan juga menyokong usaha memperkukuh keberkesanan program RTW yang telah membantu lebih 100,000 individu kembali bekerja sejak diperkenalkan.

Dalam pada itu, pusat berkenaan turut menawarkan pendekatan rehabilitasi menyeluruh merangkumi latihan vokasional, padanan pekerjaan melalui MYFutureJobs serta kerjasama industri bagi meningkatkan kebolehpasaran pesakit.

Ramanan berkata, integrasi teknologi, rawatan dan latihan kemahiran dalam satu ekosistem menjadikan pusat itu sebagai model baharu rehabilitasi negara yang lebih dinamik dan berdaya saing.

“Pusat ini bukan sekadar fasiliti rawatan, tetapi platform untuk membina semula keyakinan diri pesakit dan memastikan mereka kembali menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.