Tambang ECRL tular cuma spekulasi, kadar rasmi sedang diperhalusi - MRL

Iklan
Tren EMU enam-gerabak yang bakal digunakan untuk operasi ECRL mampu untuk bergerak sehingga kelajuan 160 km/j dan hanya mengambil masa 4 jam dari Gombak ke Kota Bharu melalui perkhidmatan ekspres

SHAH ALAM - Kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sedang diperhalusi bagi menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang berkualiti kepada orang ramai.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata, kadar tambang perkhidmatan ECRL itu masih belum diumumkan secara rasmi sehingga kini dan sebarang hantaran di media sosial berkaitan perkara tersebut hanyalah spekulasi.

Iklan
Iklan

“Sebarang kadar tambang yang sedang tular di media sosial hanyalah spekulasi dan tidak mewakili kadar sebenar yang akan dikenakan apabila perkhidmatan ECRL mula beroperasi pada Januari 2027.

“Kadar tambang ECRL sedang diperhalusi bersama pihak berkepentingan, termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), bagi memastikan ia kekal berpatutan, kompetitif dan mesra pengguna.

Iklan

“Ia juga selaras dengan matlamat menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan bahawa tular satu hantaran di media sosial berhubung anggaran harga tambang laluan ECRL dari Gombak ke Kota Bharu pada Isnin.

Iklan

Anggaran itu dibuat berdasarkan model kadar tambang perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) semasa dan jarak perjalanan relatif di laluan tersebut.

Mengulas lanjut, MRL meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang anggapan terhadap maklumat yang masih belum disahkan.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan.

“Kadar tambang rasmi akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) selepas proses penilaian dan kelulusan dimuktamadkan,” tegasnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kiri) bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, semasa Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren EMU & E-LOCO Projek ECRL yang berlangsung di Stesen ECRL KotaSAS pada 11 Februari 2026.

Dalam masa yang sama, MRL turut menzahirkan penghargaan atas keterujaan orang ramai terhadap projek ECRL dan memohon semua pihak menunggu pengumuman rasmi menerusi saluran komunikasi ECRL, MRL dan MOT.

“Insya-ALLAH, kadar tambang yang ditetapkan nanti akan mengambil kira kepentingan rakyat dan memberikan nilai terbaik kepada pengguna.

“Jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

“Pengoperasian ECRL bakal memendekkan masa perjalanan dan dijangka menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak dalam tempoh empat jam berbanding sekitar tujuh jam jika menggunakan jalan raya,” ujarnya.