NEW Zealand memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah positif apabila berjaya mengikat Iran 2-2 dalam aksi Kumpulan G yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Los Angeles.
Skuad All Whites yang turun sebagai pasukan bukan pilihan mengejutkan Iran apabila mendahului seawal minit ketujuh menerusi Elijah Just selepas menyempurnakan gerakan yang dirancang rapi bersama kapten pasukan, Chris Wood.
Iran yang menguasai sebahagian besar permainan bagaimanapun berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi rembatan Ramin Rezaeian untuk menghidupkan semula harapan pasukan Asia itu.
Memasuki babak kedua, Just sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-55 hasil hantaran Wood, sekali gus meletakkan New Zealand kembali di hadapan.
Namun, kegembiraan pasukan Oceania itu hanya bertahan sembilan minit apabila Mohammad Mohebi menanduk masuk hantaran lintang Saman Ghoddos untuk menghadiahkan gol penyamaan buat Iran pada minit ke-64.
Kedua-dua pasukan terus saling mengasak dalam usaha memburu gol kemenangan, namun benteng pertahanan masing-masing berjaya mengekang setiap ancaman sehingga wisel penamat ditiupkan.
Keputusan itu dianggap lebih menguntungkan New Zealand yang memburu kemaraan pertama ke pusingan kalah mati dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.
Malah, Just turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain New Zealand pertama menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan Piala Dunia lelaki.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan G, Belgium dan Mesir turut terikat 1-1 menyebabkan kesemua empat pasukan dalam kumpulan itu berkongsi satu mata selepas perlawanan pertama.
Iran selepas ini dijadualkan berdepan Belgium, manakala New Zealand akan membuat perhitungan dengan Mesir dalam aksi kedua kumpulan.