KEUNTUNGAN bersih Astro Malaysia Holdings Bhd bagi suku pertama berakhir 30 April 2026 merosot 88 peratus kepada RM1.56 juta berbanding RM13.47 juta yang diraih dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Tanpa kredit cukai sebanyak RM4.5 juta, syarikat itu sebenarnya mencatatkan kerugian bagi suku berkenaan.
Sehingga 30 April, cukai semasa Astro berjumlah RM3.8 juta manakala cukai tertangguhnya berjumlah RM8.3 juta, menjadikan kedudukan kredit cukai bersih sebanyak RM4.5 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Astro turut memaklumkan syarikat menanggung kos yang lebih tinggi bagi 'set-top box' serta peningkatan perbelanjaan berkaitan kakitangan, termasuk bayaran pampasan penamatan perkhidmatan.
Pada masa sama, hasil kumpulan turut susut 6.2 peratus tahun ke tahun kepada RM659.62 juta disebabkan pendapatan langganan yang lebih rendah.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Dr Grace Lee berkata, persekitaran operasi kekal mencabar berikutan pengguna semakin selektif dalam perbelanjaan mereka.
“Walaupun berdepan cabaran tersebut, prestasi Astro yang kekal berdaya tahan pada suku ini mencerminkan daya tarikan berterusan kandungan tempatan berkualiti, kekuatan ekosistem hiburan bersepadu kami serta pelaksanaan strategi jangka panjang yang berdisiplin,” katanya.
Tambahnya, Astro juga akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh nilai kepada pelanggan, mengembangkan perniagaan berkaitan serta melabur dalam kandungan dan keupayaan penstriman bagi menyokong pertumbuhan mampan.
Dalam perkembangan lain, Astro memaklumkan kandungan tempatan dan vernakular menyumbang 84 peratus daripada jumlah tontonan merentas semua platformnya.
Platform penstriman Sooka juga terus mencatat pertumbuhan apabila jumlah pelanggan berbayar meningkat 29 peratus tahun ke tahun, manakala jumlah minit penstriman meningkat 48 peratus kepada hampir dua bilion minit.
Astro turut memperhebat usaha membanteras cetak rompak digital dengan memperoleh tindakan penguatkuasaan sivil serta menurunkan lebih 114,000 pautan penstriman haram, selain bekerjasama di peringkat serantau bagi menangani sindiket cetak rompak rentas sempadan.