Hapus prejudis, golongan kurang upaya bukan beban - Sultan Nazrin

Iklan
Sultan Nazrin berkenan menyantuni salah seorang pesakit ketika baginda melawat bilik rawatan selepas merasmikan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Meru Raya pada Selasa. Foto Bernama

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa masyarakat perlu menghapuskan prejudis terhadap golongan kurang upaya dan tidak lagi melihat golongan itu sebagai beban.

Baginda bertitah, setiap insan yang mengalami kecederaan atau kehilangan upaya mempunyai pengalaman, kemahiran dan pengetahuan serta masih boleh menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Iklan
Iklan

"Mereka jangan disisih dan dipandang rendah sebagai beban. Mereka adalah sebahagian daripada keluarga besar masyarakat Malaysia.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Bandar Meru Raya di sini pada Selasa.

Iklan

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.

Iklan

Sempena majlis itu, baginda berkenan menamakan pusat tersebut sebagai Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah.

Dalam titahya, Sultan Nazrin turut menegaskan bahawa kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal atau angka pertumbuhan ekonomi yang tinggi, tetapi juga keupayaan membela dan memelihara martabat insan.

Justeru baginda menzahirkan harapan agar lebih ramai pihak swasta tampil ke hadapan menawarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama pusat-pusat rehabilitasi termasuk menyediakan latihan vokasional dan peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan.

"Usaha yang dirintis Perkeso memeterai kerjasama dengan 7-Eleven untuk menyediakan program latihan bekerja pasca rawatan dengan potensi ditawarkan pekerjaan, merupakan satu pendekatan strategik.

"Masyarakat mempunyai tanggungjawab, tampil ke hadapan turut membantu usaha-usaha Perkeso dengan membuka ruang dan peluang selayaknya kepada mereka yang telah selesai menjalani rawatan rehabilitasi agar dapat hidup berdikari," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda mahu, kewujudan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics ini dilihat sebagai satu simbol bahawa negara menghargai setiap nyawa, pekerja dan keluarga, serta memberi peluang kedua untuk membina masa hadapan yang bermaruah.

Titah baginda, pusat rehabilitasi tersebut bukan sekadar kompleks yang dilengkapi peralatan moden dan canggih, tetapi diperhebat dengan tenaga pakar pelbagai bidang, terapi pekerjaan dan vokasional serta sokongan psikologi dalam satu ekosistem bersepadu.

"Bagi seorang pesakit strok, pusat ini mungkin tempat untuk membantu mereka belajar menggerakkan semula anggota. Bagi pekerja yang mengalami kecederaan saraf, pusat ini membina semula kekuatan fizikal dan mental.

"Untuk seseorang yang mengalami kecederaan otak traumatik, pusat ini melatih semula daya ingatan, pertuturan dan keyakinan diri...dan bagi keluarga mereka, pusat ini boleh menjadi tempat untuk menyinarkan cahaya harapan," titah baginda.